30 September 2022 – Program Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) dan Saringan Kesihatan PeKa B40 telah diadakan di Pulau Tioman bermula 28 hingga 30 September 2022. Ia diterajui oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Rompin. Manakala ProtectHealth Corporation Sdn Bhd mengetuai koordinasi saringan PeKa B40 dan dibantu oleh Kerajaan Negeri Pahang melalui Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) dan pelbagai agensi lain.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata saringan bersepadu NHSI dan PeKaB40 itu berlangsung selama tiga hari melibatkan 19 orang pegawai JKNP, 21 orang pegawai PKD Rompin dan 20 orang petugas dari ProtectHealth Corporation Sdn Bhd termasuk pengamal perubatan swasta, perkhidmatan makmal swasta dan sukarelawan.
Menurutnya, program saringan tersebut dilaksanakan di beberapa lokaliti antaranya Kampung Tekek, Kampung Juara, Kampung Salang, Kampung Genting, Kampung Mukut dan Kampung Paya. Ia dilaksanakan melalui pasukan kesihatan statik dan jangkau luar.
“Program ini mensasarkan sejumlah 559 penduduk Pulau Tioman yang berumur 40 tahun ke atas menjalani saringan kesihatan sama ada melalui NHSI atau Skim PeKa B40 untuk mereka yang layak. Sehingga jam 11 malam pada 29 September 2022, seramai 370 orang telah berjaya disaring iaitu 66.2 peratus daripada sasaran program. Saringan juga telah dijalankan ke atas mana-mana individu berumur kurang daripada 40 tahun yang tampil secara sukarela di pusat-pusat saringan iaitu seramai 219 orang. Berdasarkan keputusan lengkap saringan yang dilakukan, pemeriksaan kesihatan yang lebih menyeluruh serta rujukan lanjut kepada pakar bidang perubatan yang berkaitan akan dilakukan.
Selepas 30 September 2022, program NHSI di bawah ANMS akan diteruskan di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman. Selain itu, aktiviti jangkau luar turut akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi pesakit yang terlantar di rumah dan warga emas atau OKU yang tiada kemampuan fizikal atau mental untuk hadir ke pusat saringan.” kata Dr. Noor Hisham.
Tambah beliau, pelaksanaan program itu diharapkan dapat membantu penduduk Pulau Tioman untuk mengetahui status kesihatan kendiri dan selanjutnya membolehkan mereka mendapatkan rawatan awal sekiranya perlu.
“Di samping itu, ia memberi peluang kepada penduduk setempat yang layak untuk Skim PeKa B40 mendapat manfaat daripada skim tersebut sekaligus mencegah komplikasi penyakit tidak berjangkit.” katanya.
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment