Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

Anak jati Sarawak terima anugerah tokoh muda kejuruteraan Malaysia pertama di Malaysia

471

Ir. Ts. Dr. Lai Khin Wee, Profesor Madya di Jabatan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya merupakan penerima anugerah Tokoh Muda Kejuruteraan Malaysia BEM pertama di Malaysia. Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-50 Lembaga Jurutera Malaysia.

Anugerah Tokoh Muda Kejuruteraan Malaysia BEM merupakan pengiktirafan kepada tokoh ikonik jurutera muda yang berumur 40 tahun dan ke bawah yang telah menunjukkan sifat kepimpinan yang luar biasa dan memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat. 

Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Lai Khin Wee, 37, yang berasal dari Kuching, Sarawak mengangap anugerah ini merupakan sememangnya satu pengiktirafan besar kepada usaha keras dan projek yang beliau usahakan.

“Sebagai jurutera, saya ingin menghasilkan produk atau rekaan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya dalam sektor perubatan dan selaras dengan misi Universiti Malaya iaitu berbakti kepada negara dan memberi impak kepada dunia,” katanya.

Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Lai Khin Wee merupakan perintis kepada rekaan alat yang diberi nama ‘Scoltech’ atau Digital Device Diagnostic Scoliosis. Scoltech merupakan alat bacaan digital automatik bagi mengenal pasti penyakit Scoliosis.

“Kebanyakan pesakit Scoliosis adalah dari kalangan remaja perempuan berumur 8 hingga 15 tahun di mana tulang belakang membengkok atau melengkung ke kiri atau ke kanan.  Sebelum ini, peralatan yang digunakan bagi mengenal pasti penyakit ini adalah kiraan manual dan memerlukan masa yang panjang dan kurang tepat. Alat yang digunakan juga lebih berat.

“Inovasi Scoltech secara digital ini lebih ringan dan ringkas untuk digunakan oleh pengamal perubatan, alat ini juga dapat membantu mengenal pasti penyakit lebih awal bagi mencegah dari penyakit tersebut lebih teruk dan rawatan awal dapat diberikan. 

“Rawatan awal juga dapat mengurangkan masalah pernafasan, kesukaran berjalan dan juga mengurangkan tekanan kepada paru-paru pesakit.

“Alat ini telah diuji oleh pengamal perubatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan lebih 10 pusat rawatan chiropractor, “ katanya lagi. 

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *