AM

JELAJAH ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA NEGERI SELANGOR TAWAR 23,106 PELUANG PEKERJAAN

157

SHAH ALAM, 19 Ogos 2022 – Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Selangor menawarkan 23,106 peluang pekerjaan menerusi Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia dengan disertai 90 majikan.

Kredit Foto : Jabatan Penerangan Malaysia

Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) siri kelapan kali ini menyantuni Keluarga Malaysia di Negeri Selangor, bertempat di Tapak Karnival, Pekarangan Stadium Shah Alam, bermula hari ini hingga 21 Ogos 2022.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob pada hari ini dan hadir bersama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Tan Sri Noh bin Hj. Omar, Siri jelajah yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri ini berkonsepkan penyampaian perkhidmatan secara langsung dan pemberian bantuan kepada rakyat, yang menjadi manifestasi aspirasi Kerajaan dalam memastikan kepentingan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia terus dipelihara.

Kementerian peneraju bagi jelajah kali ini ialah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang melaksanakannya dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor selaku tuan rumah, manakala SEPADU, Jabatan Perdana Menteri merupakan penganjur dan penyelaras utama program ini.

Sebanyak 26 reruai (booth) kaunter perkhidmatan mengambil bahagian melibatkan pelbagai Kementerian, agensi Kerajaan Persekutuan dan juga agensi Kerajaan Negeri. Antara perkhidmatan menarik ialah penerangan dan tawaran perkhidmatan langsung Kerajaan kepada rakyat, khidmat nasihat dan sesi bimbingan usahawan serta pemberian bantuan. Segmen pameran turut membawakan Kapsul Keluarga Malaysia yang memaparkan maklumat berkaitan pencapaian serta perancangan program-program utama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Pada masa yang sama, pelbagai kaunter perkhidmatan bergerak antaranya dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Mobile), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan perkhidmatan pergigian turut disediakan dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan langsung kepada Keluarga Malaysia yang hadir.

Sebanyak 100 gerai jualan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), 10 gerai Citarasa Keluarga Malaysia, 40 trak jualan makanan (food trucks) dan 7 reruai (booth) Jualan Keluarga Malaysia yang menawarkan barangan keperluan dengan harga lebih rendah, juga mengambil bahagian pada siri jelajah kali ini.

Selain itu, Program Padanan Perniagaan (Business Matching) yang melibatkan 20 syarikat pasaran tempatan, platform e-dagang, logistik, peruncitan dan koperasi juga diadakan secara percuma untuk para usahawan.

Antara program lain yang dijangka menjadi tarikan pengunjung ialah program kerohanian seperti Malam Zikir Berkah Selangor, Fun Ride Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, seminar percuma yang melibatkan pelbagai topik menarik, demonstrasi oleh Kementerian dan Agensi, program kesukanan seperti Sukan Rakyat, kejohanan e-sukan (e-sports) serta banyak lagi program yang bersesuaian dengan pelbagai peringkat umur. Pengunjung yang berdaftar turut berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik melalui cabutan bertuah yang akan diadakan sepanjang program berlangsung.

Selain itu, tarikan dan kelainan yang dibawakan dalam siri jelajah ini ialah Kenduri Rakyat Keluarga Malaysia@Kenduri Foodtruck yang akan disertai oleh YAB Perdana Menteri bersama rakyat setempat.

Pada jelajah kali ini juga terdapat pengurangan kadar kompuan saman PDRM sehingga 50%, Mini Konsert Gema Irama yang menampilkan penghibur seperti Dato’ Datuk Nash serta artis tempatan, pertandingan makan Hotdog 1901 terbanyak dan acara Meet and Greet bersama Didi and Friends

Bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada pengunjung, perkhidmatan bas perantara (shuttle bus) percuma disediakan sepanjang program ini berlangsung dari Hentian Pusat Bandar Sek.14, Shah Alam, Pasaraya Giant Sek. 13, Shah Alam, LRT Glenmarie dan Stesen KTM Batu Tiga ke lokasi program.

Semua pengunjung diwajibkan memakai pelitup muka dan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini fasa peralihan ke endemik yang ditetapkan oleh Kerajaan. Pengunjung juga digalakkan membuat ujian kendiri RTK COVID-19 sebelum berkunjung ke lokasi program.

Layari media sosial rasmi Keluarga Malaysia @mykeluargamalaysia (Facebook, Instagram & TikTok), @mykeluargamsia (Twitter) dan Keluarga Malaysia (YouTube) atau laman sesawang www.keluargamalaysia.gov.my untuk maklumat lanjut.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNASukan @ My LNAUTAMA

Dua kertas pertimbangan dibentang dalam mesyuarat JKPS

PUTRAJAYA, 18 April 2024 – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Syawal ceria apabila adab dijaga

Oleh: Prof Madya Dr Aizan Ali@ Mat Zin Syawal merupakan bulan kemenangan...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Shikoku, Jepun

Satu kejadian gempa bumi kuat telah berlaku di Shikoku, Jepun pada jam...

AMBM @ MY LNA

Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI bersama PM di 7 buah negeri

PUTRAJAYA, 17 April 2024 – Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Bersama YAB Perdana...