Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

PENYELIDIKAN END-OF-LIFE VEHICLE (ELV) MENGGALAKKAN KERJASAMA AKADEMIK, PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN TEKNOLOGI DALAM BIDANG PENGURUSAN KENDERAAN AKHIR HAYAT ATAU END-OF-LIVE VEHICLE (ELV)

251

Oleh MOSTI

KUALA LUMPUR, 12 OGOS 2022 – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba hari ini telah menyaksikan majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Malaysia Automative Recyclers Association (MAARA).

Menerusi MoU ini, UTM akan berkolaborasi dengan MAARA melalui Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan End-of-Life Vehicle (ELV) untuk menggalakkan kerjasama akademik, penyelidikan dan pembangunan teknologi dalam bidang ELV.

Pihak universiti dan industri dalam pembangunan teknologi lestari akan menyelesaikan permasalahan berkenaan ELV menerusi pelbagai komponen dan bahan yang masih boleh diguna pakai untuk tujuan yang sama mahupun diolah menjadi suatu produk yang lain.

Menurut YB Dato’ Sri Dr. Adham Bin Baba, kerjasama ini menunjukkan negara kita berada di landasan yang tepat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam ruang lingkup teknologi kenderaan.

“Usaha yang dilakukan bukan sahaja mampu menghasilkan kenderaan yang baik, namun apabila jangka hayat kenderaan itu berakhir, kita juga dapat memanfaatkannya agar tidak sekadar menjadi bahan buangan yang sia-sia,” kata YB Dato’ Sri Dr. Adham bin Baba.

Tambahnya lagi, “Saya yakin kerjasama ini akan menjadi pemangkin kepada perkembangan sektor industri khususnya dalam bidang inovasi dan teknologi yang akhirnya dapat membantu mewujudkan sebuah ekosistem ekonomi yang cemerlang serta meningkatkan taraf pendidikan dan penyelidikan sains, teknologi dan inovasi di Malaysia.”

Majlis tersebut yang diadakan di UTM Kuala Lumpur itu turut dihadiri oleh Naib Canselor UTM, YBhg. Prof. Datuk Ts Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail dan Presiden MAARA, YBhg. Datuk Haji Khan bin Mohd Akram Khan.

YBhg. Prof. Datuk Ts Dr. Ahmad Fauzi bin Ismail dalam ucapannya menyatakan MoU yang akan menterjemahkan inisiatif pengetahuan akademik, penyelidikan dan pembangunan teknologi ini akan membawa banyak manfaat kepada kedua-dua pihak dan menyumbang kepada pembangunan teknologi dan ekonomi negara.

Sementara itu, YBhg. Datuk Haji Khan bin Mohd Akram Khan pula menegaskan penglibatan pemain industri melalui perkongsian ilmu berkenaan sektor kitar semula ini akan dapat membantu pihak universiti untuk menambah baik kursus-kursus sedia ada supaya lebih relevan kepada keperluan industri. Ini akan memudahkan kebolehpasaran graduan lepasan universiti seterusnya merebut peluang pekerjaan yang bakal ditawarkan apabila bidang pengurusan akhir hayat kenderaan ini dilaksanakan kerajaan.

Jalinan kerjasama ini diharapkan dapat menjadi titik permulaan kepada sebuah usaha yang lebih besar di masa hadapan seiring dengan pembangunan dasar dan polisi kebangsaan bagi memastikan matlamat dan objektif yang digariskan tercapai.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *