JenayahPengguna @ My LNA

KPDNHEP serbu sebuah premis perniagaan di Port Dickson simpan minyak masak lebih had

118

PUTRAJAYA 18 Julai 2022 – Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Azman bin Adam memaklumkan bahawa KPDNHEP telah menyerbu sebuah premis perniagaan di Port Dickson, Negeri Sembilan kerana menyimpan barang kawalan berjadual iaitu minyak masak melebihi had yang dibenarkan bagi tujuan perdagangan atau perniagaan tanpa permit yang sah pada 15 Julai 2022.

Dalam satu kenyataan hari ini, Azman berkata serbuan yang telah dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa daripada KPDNHEP Putrajaya bermula pada jam 6.00 petang itu adalah hasil maklumat daripada orang awam.

Katanya semasa pemeriksaan dilakukan, seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 60-an yang mengaku sebagai pemilik premis terbabit memaklumkan bahawa perniagaan yang dijalankan adalah menjual guni dan memproses makanan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pihak premis telah gagal mengemukakan sebarang dokumen permit kebenaran menyimpan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961).

Pasukan serbuan telah bertindak dengan merampas sejumlah 44 kotak minyak masak botol 5 kg dengan jumlah keseluruhan sebanyak 176 botol bersama beberapa dokumen perniagaan lain dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM 7,920.00.

Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti daripada mana punca bekalan minyak masak ini diperolehi dan menyiasat tujuan sebenar minyak masak ini disimpan dalam kuantiti melebihi daripada had yang dibenarkan tanpa permit.” kata Adam.

Tambah beliau, semua peniaga yang menggunakan/menyimpan barang kawalan berjadual terutamanya minyak masak bagi kegunaan perniagaan seperti memproses makanan dan sebagainya agar mendapatkan permit kebenaran menyimpan di bawah AKB 1961 bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh KPDNHEP.

“KPDNHEP ingin memaklumkan bahawa di bawah Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 telah mewajibkan mana-mana pihak bagi tujuan perdagangan yang membeli dan menyimpan minyak masak melebihi 12 kg perlu memiliki permit kebenaran daripada pihak Kementerian. Melalui penguatkuasaan permit ini, pemegang permit hanya boleh mendapatkan bekalan minyak masak tidak bersubsidi seumpama ini daripada pemborong berlesen yang sah sahaja.

KPDNHEP ingin memberikan amaran keras kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual khususnya minyak masak agar mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).

Selain itu, siasatan juga akan dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak masak.” katanya.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 tersebut boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member