Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

MDEC LANCAR SIRI KETIGA LET’S LEARN DIGITAL, FOKUS KEPADA KURSUS TEKNOLOGI DIGITAL

72

CYBERJAYA, 12 JULAI 2022 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), telah mengumumkan siri ketiga Let’s Learn Digital (LLD) yang merupakan program peningkatan kemahiran merangkumi kursus-kursus berasaskan teknologi digital.

Program yang dilancarkan pada tahun 2020 di bawah inisiatif #mydigitalworkforce MDEC ini akan membuka lebih banyak peluang kepada tenaga kerja Malaysia khususnya dalam meningkatkan kemahiran menerusi kursus teknologi digital seperti sains data, keselamatan siber, animasi, pembangunan permainan, perkhidmatan perniagaan global digital, teknologi kewangan, pemasaran digital, sistem awan (cloud services) dan sebagainya.

Bagi siri ketiga ini, MDEC selaku agensi peneraju ekonomi digital Malaysia, telah bekerjasama dengan Meta, Microsoft, Oracle, SAS dan penyedia latihan lain yang disenaraikan di bawah Direktori Latihan Kemahiran Digital untuk menawarkan kursus secara percuma.

Peserta yang berminat boleh mendaftar mulai 1 Julai 2022 sehingga 30 September 2022 dan boleh menjalani latihan yang dijadualkan dalam tempoh 1 Julai 2022 sehingga 31 Disember 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, MDEC akan terus berusaha memastikan bekalan tenaga kerja berkemahiran dan berkeupayaan digital terus terjamin.

“Ekosistem digital yang dinamik memerlukan pengeluaran bakat digital dibangunkan secara bersama dengan teknologi kerana kami percaya peranan bakat digital yang berkualiti adalah sama penting dengan peranan mesin berteknologi tinggi dan di Malaysia, banyak lagi kekosongan pekerjaan digital dan kebanyakan pekerjaan ini diisi oleh ekspatriat disebabkan oleh wujudnya jurang dalam kemahiran digital di negara kita.

“Justeru, menerusi program seperti LLD ini akan terus memperkasakan inisiatif dalam melahirkan bakat digital berkualiti menerusi kerjasama dengan rakan industri yang akan membantu menyediakan input semasa mengenai permintaan kemahiran, pekerjaan serta kepakaran yang diperlukan,” tambah Mahadhir.

Antara kursus yang ditawarkan termasuklah Pensijilan Blueprint Digital Marketing Associate oleh Meta dan Microsoft Azure yang memberi fokus kepada sistem awan, data dan Kecerdasan Buatan (AI).

Sementara itu, program Skill Builder oleh SAS memberi fokus kepada pentafsiran data kompleks menggunakan analitik, pengurusan data dan AI.

Kerjasama dengan Oracle University pula membolehkan peserta meningkatkan penguasaan Oracle Cloud Infrasructure (OCI) dan pembinaan kecekapan awan menerusi OCI.

Selain itu, melalui penglibatan penyedia latihan daripada Direktori Latihan Kemahiran Digital, pelbagai kursus teknologi digital turut ditawarkan khususnya berkenaan subjek sains data, keselamatan siber, pembangunan perisian, animasi, pembangunan permainan, teknologi kewangan dan perkhidmatan perniagaan digital global. Antara kursus yang ditawarkan adalah Amazon Web Services (AWS), Scrum, Tableau, SAP dan Automasi Proses Robotik (RPA).

Individu yang berminat untuk menyertai Let’s Learn Digital boleh melayari https://mdec.my/digital-economy-initiatives/for-the-people/lets-learn-digital/ untuk maklumat lanjut.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member