Pelancongan @ My LNA

Pakej Haji Furada : MOTAC akan buat siasatan

305

08 Julai 2022 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius dan prihatin terhadap penipuan Pakej Haji Furada oleh sebuah agensi pelancongan ke atas rakyat Keluarga Malaysia yang terkandas di KLIA semalam.

Katanya dalam satu kenyataan media hari ini, agensi pelancongan tersebut adalah berlesen dengan MOTAC.

“Pasukan penguatkuasaan MOTAC juga telah memantau dan menemubual wakil syarikat di KLIA semalam dan dimaklumkan sekiranya bakal jemaah tidak mendapat penerbangan seperti yang dijadualkan, wang akan dikembalikan secara berperingkat dan pasport dipulangkan.

Di samping itu, sekiranya Rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam kes tersebut tidak mendapatkan kembali wang seperti yang dijanjikan, mereka adalah dinasihatkan untuk membuat laporan polis di Balai Polis Main Terminal Building (MTB) KLIA atau mana-mana balai polis yang berdekatan.” kata MOTAC.

MOTAC juga meminta agar para jemaah membuat aduan rasmi kepada pihak MOTAC melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), MOTAC di pautan https://motac.spab.gov.my dan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di https://ttpm.kpdnhep.gov.my/portal/home bagi pemulangan wang.

Dokumen-dokumen yang perlu disertakan dalam SISPAA MOTAC adalah bukti tempahan pakej, bukti pembayaran deposit, bukti pembayaran penuh, terma dan syarat seragam ke luar negara (Jadual Keempat) milik syarikat, salinan passport/ visa, salinan tiket penerbangan (jika ada), laporan polis dan apa-apa dokumen yang dianggap boleh membantu siasatan di peringkat Kementerian.

Tambah MOTAC pihaknya akan membuat siasatan sewajarnya ke atas syarikat di bawah Seksyen 8(1)(d), Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] kerana menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara, dan sekiranya didapati bersalah, syarikat boleh digantung atau dibatalkan lesen yang diberikan.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles