Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

TEKNOLOGI PEMANGKIN UTAMA BANDAR MAMPAN DAN PINTAR

128

CYBERJAYA, 5 Julai 2022 – Dalam usaha untuk mentransformasikan sosioekonomi negara melalui Program Bandar Pintar, satu majlis pemeteraian kerjasama telah diadakan antara Pertubuhan Bandar Mampan dan Pintar Malaysia (MSCA) dengan empat (4) organisasi iaitu Malaysian Research for Technology and Innovation (MRANTI), Technology Depository Agency Berhad (TDA), Malaysia Industry Forward Association (MIFA) dan Malaysian Photovoltaic Industry Association (MPIA).

Empat (4) bidang kerjasama yang telah dikenal pasti adalah National Technology & Innovation Sandbox (NTIS) Smart Cities Sandbox antara MSCA dengan MRANTI, Inisiatif Bandar Pintar dan Program Kerjasama Industri (ICP) antara MSCA dengan TDA, Teknologi dan Perkongsian Pengetahuan dan Pembangunan Industri antara MSCA dengan MIFA, serta Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui dan Pengkongsian Pengetahuan serta Pembangunan Industri antara MSCA dengan MPIA.

Kesemua kolaborasi ini memberi penekanan terhadap kerjasama perkongsian teknologi dan pengetahuan, penyediaan nasihat teknikal dan bukan teknikal serta pembangunan industri ke arah bandar mampan dan pintar. Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) selaku sekretariat tetap MSCA sentiasa berusaha untuk merealisasikan program Bandar Pintar ini di seluruh negara.

Majlis pemeteraian kerjasama ini telah disaksikan oleh YB Datuk Haji Ahmad Amzad bin Hashim, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi. Menurut YB Datuk Haji Ahmad Amzad, kesemua kerjasama ini membolehkan teknologi-teknologi baharu diuji di dalam persekitaran sebenar, selain menerima kemudahan kawal selia dan pembiayaan sebelum dibawa ke pasaran dan disebarkan ke seluruh negara.

“Saya optimis bahawa kerjasama yang dimeterai pada hari ini merupakan satu usaha yang berkesan dalam mencapai objektif untuk mengukuh penglibatan penggiat industri dan sektor kerajaan dalam merealisasikan agenda pembangunan mampan dan bandar pintar negara pada masa hadapan,” kata YB Datuk Haji Ahmad Amzad.

Tambahnya lagi, “Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menghargai dan mengalu-alukan inisiatif sebegini, selari dengan tanggungjawab Kementerian dalam memperkukuhkan peranan dan sumbangan teknologi dan inovasi terhadap agenda pembangunan mampan serta bandar pintar negara.”

Hadir sama pada majlis tersebut adalah YBrs. Dr. Raslan Ahmad, Naib Presiden Kanan MIGHT merangkap Pengerusi MSCA; YBhg. Datu Hj. Junaidi bin Haji Reduan, Datuk Bandar Kuching Utara; YBhg. Dato’ Ir Muhamad Guntor Mansor Tobeng, Timbalan Presiden MPIA; YBrs. En.Abdul Halim Bin Mohd Bisri, Naib Presiden Kanan MIGHT; YBrs. En. Khalid Yashaiya, Ketua Pegawai Strategi MRANTI; YBrs. Dr. Sharoul Jambari, Ketua Pegawai Eksekutif TDA; Ts Muhammad Didi Hendra Shah Bin Norharashid, Presiden MIFA; dan YBrs. En. Jacob Isaac, Pengarah Urusan Fusionex Group. Majlis tersebut turut disaksikan lebih 100 orang hadirin secara fizikal dan maya.

MSCA merupakan sebuah pertubuhan yang mempunyai keahlian seramai 28 organisasi daripada sektor dan bidang yang berkaitan dengan bandar mampan dan pintar di Malaysia. Ianya merupakan sebuah platform bagi membincang dan menyelesaikan isu-isu berkaitan bandar pintar secara bersepadu melalui input daripada semua pemegang taruh dari sektor kerajaan, industri serta akademia.

Pelaksanaan konsep Bandar Pintar dicetuskan untuk memudahkan pengurusan sumber dan alam bina yang lestari dan mesra pengguna. Matlamat utama Bandar Pintar ialah untuk mewujudkan bandar yang sesuai didiami, bekerja dan beriadah dengan kualiti hidup dan kesejahteraan yang tinggi, selain berpotensi menghasilkan keuntungan kewangan.

Kepentingan menjadikan negeri-negeri di Malaysia sebagai Bandar Pintar turut diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), selari dengan hasrat dan tanggungjawab MOSTI dalam memperkukuhkan peranan serta sumbangan teknologi dan inovasi terhadap agenda pembangunan mampan negara.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member