Pengguna @ My LNA

KPDNHEP tumpaskan aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian melalui platform e-dagang terkenal

234
Soybean oil Soybean food and beverage products Food nutrition concept.

PUTRAJAYA, 4 Julai 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan bahawa pihaknya telah berjaya menumpaskan aktiviti penjualan minyak masak secara dalam talian melalui platform e-dagang terkenal dalam negara di dua (2) premis berasingan masing-masing di Petaling Jaya dan Puchong, Selangor pada 1 Julai 2022.

Dalam satu kenyataan yang diedarkan semalam, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman bin Adam berkata serbuan yang dilakukan pada jam 12.00 tengah hari itu dengan kekuatan keseluruhan seramai tujuh (7) orang anggota penguat kuasa daripada KPDNHEP Selangor adalah hasil maklumat aduan yang diterima daripada orang awam.

“Premis yang diserbu di Petaling Jaya merupakan sebuah premis kediaman yang disewa untuk dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan barang-barang runcit yang dijual secara dalam talian manakala premis yang diserbu di Puchong adalah premis rumah kedai yang juga dijadikan stor penyimpanan dan pembungkusan barang-barang runcit yang dijual secara dalam talian.

Hasil pemeriksaan ke atas premis di Petaling Jaya itu, pihak berkuasa telah menemukan sejumlah 255 kg minyak masak paket 1 kg bersubsidi bersama beberapa jenis barangan runcit lain yang disimpan di dalam premis terbabit sebelum dijual/diedar kepada pelanggan secara dalam talian.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati hanya barang kawalan minyak masak paket 1 kg sahaja ditemukan oleh pihak KPDNHEP dan premis gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 daripada Pengawal Bekalan untuk berurusniaga dengan barang kawalan berjadual itu. Hasil maklumat yang diperolehi, minyak masak paket tersebut dijual pada harga RM 2.50/kg.” kata Adam.

Tambah beliau, pasukan serbuan telah mengambil tindakan ke atas premis terbabit kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menjual barang kawalan tanpa lesen dan Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu mana-mana orang
tidak boleh berurusan secara borong dan runcit apa-apa barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan di bawah Peraturan 4 Akta yang sama.

Katanya, seorang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pembantu/pekerja premis terbabit telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan.

“Sejumlah 255 kg minyak masak paket 1 kg telah disita bersama beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 637.50.” kata Adam.

Sementara itu dalam serbuan berasingan, pemeriksaan ke atas premis di Puchong pula, pasukan serbuan telah menemukan sejumlah minyak masak kemasan botol 1 kg, 2 kg dan 3 kg dalam premis terbabit.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, pihak premis telah mengemukakan lesen runcit di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang masih sah tempohnya namun alamat didaftarkan dalam lesen itu berbeza daripada alamat premis yang menyimpan barang-barang kawalan terbabit.

“Seorang wanita warga tempatan yang mengaku sebagai penyelia premis berkenaan telah direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sekyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan apa-apa barang yang dikawal selain daripada premis yang dilesenkan.

Sejumlah 27 unit minyak masak kemasan botol 1 kg, 2 kg dan 3 kg telah disita bersama beberapa dokumen perniagaan lain untuk siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM
858.00.” kada Adam.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member