Ekonomi @ My LNAPelancongan @ My LNA

Malaysia destinasi pilihan pertama bagi pengembara umat Islam dalam Indeks Pengembara Muslim Global (GMTI)

98

2 Julai 2022 – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri memaklumkan bahawa pada tahun ini, Malaysia sekali lagi telah disenarai serta dianugerahkan sebagai destinasi pilihan pertama bagi pengembara umat Islam dalam Indeks Pengembara Muslim Global (GMTI) dikeluarkan MasterCard dan CresentRating untuk tempoh tujuh (7) tahun berturut-turut.

Kata Nancy dalam satu kenyataan hari ini, MOTAC memberi penekanan kepada program pembangunan modal insan dan piawaian pensijilan halal yang setara bagi menjamin perkhidmatan berkualiti mampu ditawarkan secara berterusan, di samping memastikan perjalanan patuh syariah sebagai galakan utama untuk menarik lebih ramai ketibaan pelancong Islam ke Malaysia.

“Sehingga kini, lebih daripada 600 persijilan halal juga telah dikeluarkan kepada hotel dan pusat peranginan di Malaysia. Selain itu, lebih 50 % pensijilan halal juga telah dianugerahkan kepada syarikat tempatan bukan Islam. Angka ini jelas menunjukkan serta menjanjikan bahawa segmen pelancongan Muslim mampu menjadi penyumbang yang signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), iaitu agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), menjangkakan pasaran industri halal global akan mencecah USD2.3 trilion menjelang 2024. Di Malaysia, industri Halal dijangka akan menyumbang 8.1% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menjana USD12.7 bilion dari hasil eksportnya pada 2025.

Untuk itu, Malaysia memandang jauh ke hadapan dalam usahanya untuk mengukuhkan lagi kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa khususnya yang melibatkan OIC. Selain, mengesyorkan penglibatan dan perkongsian pandangan yang berterusan di kalangan negara anggota, terutama dalam bidang pendigitalan, penggunaan teknologi dan pelaburan pelancongan yang mampan demi menjadikan industri ini dapat muncul lebih kuat dan lebih berdaya tahan dalam mendepani cabaran masa hadapan.” kata Nancy.

Jelas Nancy, sebelum pandemik COVID-19 melanda negara, Malaysia menerima purata seramai 5.3 juta ketibaan pelancong Muslim dengan sumbangan pendapatan pelancongan dianggarkan berjumlah USD3.8 bilion. Katanya, negara yang merekodkan jumlah ketibaan pelancong Muslim tertinggi, khususnya dalam kalangan negara OIC adalah Indonesia, Brunei, Bangladesh dan Arab Saudi.

“Saya juga melihat peningkatan dalam pengembaraan yang melibatkan wanita Muslim. Kajian Penarafan Kredit MasterCard pada 2018 menunjukkan, 63 juta pengembara Muslim wanita berumur antara 18 dan 40 tahun telah membelanjakan sejumlah USD80 bilion.

Bahkan, Malaysia turut dinilai berada di kedudukan pertama bagi destinasi pelancong muslimah menerusi Muslim Women in Travel Report yang dikeluarkan Crescentrating dan MasterCard pada Oktober 2019.

Walaupun 71% wanita Islam mengembara bersama keluarga, namun trend ini dijangka berubah apabila wabak COVID-19 mula beralih kepada endemik. Kebimbangan mereka terhadap isu kesihatan dan keselamatan kanak-kanak, dijangka mendorong untuk mereka beralih kepada mood pengembaraan secara solo, sekaligus diyakini mampu menjadi penyumbang besar kepada industri pelancongan.” kata Nancy.

Tambahnya, kajian sebelum pandemik COVID-19 turut menunjukkan, 29 % daripada wanita Muslim mengembara dalam kumpulannya yang melibatkan kesemuanya wanita, 28 % mengembara secara sendirian dan 22 % lagi dalam kumpulan jantina yang bercampuran.

“Dalam kunjungan kami ke Azerbaijan, saya juga melihat potensi besar di negara ini memandangkan Azerbaijan kini adalah sebuah negara yang pesat membangun dan terus berkembang. Malaysia perlu merintis lebih banyak kerjasama dua hala, terutamanya yang melibatkan segmen pelancongan pendidikan dan pelancongan perubatan.” ujar Nancy.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAUTAMA

Tindakan puak Houthi di Yaman tidak beri impak besar kepada ekonomi Malaysia

Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku...

AMBM @ MY LNAEkonomi @ My LNAKewangan @ My LNAUTAMA

Pelabur tunjuk minat tinggi untuk fahami asas dan potensi ekonomi Malaysia

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah mengetuai delegasi...

BM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNAPelancongan @ My LNAUTAMA

Tourism Malaysia Lancar Pakej Pelancongan Sarawak Delta Geopark & Gawai 2024

KUCHING, 2 April 2024 – Tourism Malaysia hari ini melancarkan Pakej Pelancongan...