Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

MEASAT-3d memungkinkan negara capai kadar liputan 100 peratus bagi semua kawasan berpenduduk sebelum tahun 2025

151

Sumber foto : Facebook rasmi Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia

23 Jun 2022 – Malaysia telah mencatat satu lagi sejarah apabila satelit kesepuluh negara, iaitu satelit MEASAT-3d telah berjaya dilancarkan di French Guiana, Amerika Selatan pada pukul 6.50 petang waktu tempatan 22 Jun (5.50 pagi waktu Malaysia, 23 Jun) dan isyarat telemetri pertama daripada MEASAT-3d diterima tepat 6.41 pagi waktu Malaysia sekali gus menandakan pelancaran satelit itu berjaya sepenuhnya.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa berkata kejayaan tersebut amat signifikan buat Malaysia kerana memungkinkan negara mencapai kadar liputan 100 peratus bagi semua kawasan berpenduduk sebelum tahun 2025 dan meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar di kawasan pedalaman kepada kadar berkelajuan tinggi seperti rangkaian gentian optik di kawasan bandar.

Katanya, perkembangan itu juga sangat penting dalam usaha menjayakan MyDIGITAL dan seterusnya melengkapkan pelaksanaan program di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

“Di bawah program JENDELA Fasa 1, kita mempunyai jangkaan boleh mencapai liputan 4G pada kadar 96.9% yang menghubungkan kawasan berpenduduk. Namun baki 3.1% lagi adalah kawasan yang tidak ekonomik dan hanya boleh dihubungkan menggunakan akses wayarles tetap (FWA) dan satelit.

Teknologi satelit yang dimiliki setakat ini memberikan perkhidmatan jalur lebar kapasiti dan kelajuan yang rendah dengan majoriti kurang daripada 10 megabit sesaat (Mbps) iaitu hanya tiga sehingga lima Mbps namun satelit MEASAT-3d berkeupayaan memberikan perkhidmatan jalur lebar di kawasan pedalaman antara 30 Mbps sehingga 100 Mbps.

Ini bermakna, dengan pelancaran satelit MEASAT-3d membolehkan penduduk di kawasan pedalaman bukan sahaja dapat menggunakan aplikasi tetapi juga memberikan pengalaman yang sama dengan yang diterima oleh penduduk di kawasan bandar.” kata Annuar.

Beliau turut berharap dengan pelancaran satelit MEASAT-3d ini akan mengembangkan lagi kadar liputan Internet berkelajuan tinggi di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai sambungan supaya mencapai 100 peratus kesalinghubungan Internet, sekali gus membolehkan Keluarga Malaysia menikmati kemudahan Internet dengan lebih baik.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member