11 Jun 2022 – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) CP Dato’ Sri Abd Jalil bin Hassan memaklumkan bahawa berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada data profil asid deoksiribonukleik (DNA), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sekali lagi telah berjaya menangkap seorang lelaki berumur 40 tahun bagi membantu siasatan kes rogol yang berlaku pada tahun 2003 di Bagan Serai, Perak.
Katanya dalam satu kenyataan hari ini, tangkapan tersebut telah dilakukan pada 9 Jun 2022 jam lebih kurang 9.30 malam di Bagan Serai, Perak.
“Suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Perak selama empat (4) hari bermula 10 Jun 2022 hingga 13 Jun 2022 bagi membantu siasatan kes yang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kertas siasatan akan segera dirujuk kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan arahan bagi tujuan pertuduhan.” kata CP Dato’ Sri Abd Jalil.
Tambah beliau, PDRM akan terus berusaha dengan pelbagai pendekatan dalam mengesan dan menangkap penjenayah meskipun menghadapi kekurangan maklumat pada awal siasatan termasuklah menggunakan kaedah saintifik melalui data profil DNA bagi mengenal pasti identiti suspek untuk dibawa ke muka pengadilan.
“PDRM juga menyeru agar masyarakat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian yang menyalahi undang-undang dalam usaha membanteras kegiatan jenayah untuk memberi keadilan kepada mangsa seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang kekal selamat.” ujarnya.
- Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2022 bukan dibawah kendalian KBS
- Seramai 12 individu dilantik anggotai Majlis Kebudayaan Negara (MAKEN)
- ‘KELUARGA MALAYSIA TEGUH BERSAMA’ TEMA HARI KEBANGSAAN DAN HARI MALAYSIA 2022
- COVID-19 : Jumlah kes baharu terus meningkat
- [GALERI] MAJLIS PRATONTON MEDIA SEMPENA KONSERT TRIBUTE SENIMAN NEGARA DATO’ SERI AHMAD NAWAB