Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

MOSTI giat jalankan R&D tangani isu sekuriti makanan

199

10 Jun 2022 – Bagi menangani isu sekuriti makanan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan agensi-agensi di bawahnya sedang giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) di mana penyelesaian berlandaskan teknologi sedang diusahakan.

Di dalam satu kenyataan hari ini, MOSTI memaklumkan bahawa antaranya Agensi Nuklear Malaysia antaranya sedang menjalankan R&D kaedah biak baka mutasi rumput, contohnya penghasilan varieti baharu rumput Napier yang lebih tinggi kandungan protein sebagai makanan utama haiwan ternakan seperti lembu dan kambing. Rumput itu juga sesuai dijadikan silaj.

Tambah MOSTI, bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran tanaman, antara teknologi yang boleh diguna pakai adalah kemudahan penyinaran gamma bagi penjanaan varieti baharu tanaman termasuklah penambahbaikan tanaman.

Katanya, penggunaan baja yang berasaskan teknologi nano (nanofertiliser) pula membolehkan pelepasan nutrien secara terkawal seterusnya mengurangkan penggunaan baja dan meningkatkan produktiviti serta hasil pertanian, khususnya bekalan makanan.

“MOSTI menawarkan senarai inventori teknologi di bawah MOSTI yang boleh digunakan segera, di samping memanfaatkan kepakaran seramai lebih 800 jaringan pakar saintis Akademi Sains Malaysia dalam mengenal pasti serta memadankan kaedah penyelesaian terbaik berlandaskan teknologi. Sehingga kini sebanyak 46 penyelesaian teknologi telah dikenal pasti tersedia untuk membantu menangani isu sekuriti makanan”. kata Adham.

Selain daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), kerjasama ini akan diteruskan bersama pihak-pihak berkepentingan dan diperkasakan.

MOSTI turut memaklumkan menerusi inisiatif bilik gerakan (war room) yang dikenali sebagai Bilik Gerakan Penyelesaian Teknologi MOSTI berperanan menyokong kerajaan bagi menangani isu bekalan makanan dengan menggunakan teknologi yang boleh diguna pakai para penternak, peladang dan petani bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Katanya, menerusi war room ini, jaringan bekalan dalam ekosistem akan dihubungkan dengan pantas antara pemain-pemain utama seperti pengusaha, pihak industri dan akademia bagi membantu menangani isu-isu semasa negara dengan segera.

“Dengan penubuhan war room ini, isu-isu sekuriti makanan dengan penyelesaian berlandaskan teknologi seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan penggunaan bioteknologi dan teknologi nano dalam jangka masa pendek, jangka sederhana dan panjang telah pun dikenal pasti. MOSTI juga akan mengadakan sesi libat urus bersama persatuan-persatuan penternak, peladang dan petani serta syarikat-syarikat teknologi bagi menghimpunkan input yang dapat membantu menangani isu sekuriti makanan. Usaha kolektif dalam menghimpunkan pelbagai teknologi ini disuai padankan dengan penerima teknologi yang sesuai dapat meningkatkan kelestarian sumber bekalan makanan negara.” kata Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member