23 Mei 2022 – Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Jepun dari 23 hingga 28 Mei 2022. Beliau akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Sumber Manusia, Menteri Wilayah Persekutuan, Menteri Belia dan Sukan, Utusan Khas Perdana Menteri ke Asia Timur; Timbalan Menteri I Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
“YAB Perdana Menteri dijadual bertemu dengan rakan sejawat beliau, Tuan Yang Terutama Fumio Kishida. Ini merupakan pertemuan bersemuka pertama antara keduadua pemimpin sejak menyandang jawatan pada tahun 2021. Pertemuan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak membincangkan inisiatif dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia-Jepun yang telah lama terjalin serta kerjasama dalam pelbagai bidang. Antara perkara-perkara utama yang akan dibincangkan termasuk memperingati Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT), pengukuhan hubungan antara rakyat, dan kerjasama pasca COVID-19.
Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai kepentingan ketenteraman antarabangsa dan kestabilan serantau. Malaysia dan Jepun akan memuktamadkan Memorandum Kerjasama dalam tiga bidang melibatkan industri pesawat, pekerja mahir serta belia dan sukan.
YAB Perdana Menteri dijadualkan akan bertemu dengan wakil-wakil komuniti perniagaan di Tokyo. Selain itu, beliau juga akan turut meraikan Sambutan Hari Raya Keluarga Malaysia bersama diaspora rakyat Malaysia di Jepun. YAB Perdana Menteri juga akan menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia di atas jemputan daripada Nikkei Inc. Persidangan ini merupakan perhimpunan tahunan pemimpin-pemimpin politik, ekonomi dan industri dari rantau Asia Pasifik. YAB Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama dengan tema “Redefining Asia’s role in a divided world”. Penyertaan YAB Perdana Menteri di Persidangan Nikkei ke-27 ini akan menjadi platfom untuk Malaysia berkongsi idea serta melibatkan diri dalam pelbagai inisiatif yang bertujuan mengembangkan kerjasama ekonomi yang lebih erat antara negara di rantau ini.” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Wisma Putra, lawatan tersebut mencerminkan kepentingan hubungan dua hala Malaysia – Jepun, selaras dengan sambutan memperingati ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik dan ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT) yang disambut pada tahun ini.
“Pada tahun 2021, Jepun merupakan rakan dagang ke-4 terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan bernilai RM149 bilion (USD36 bilion). Sehingga 2021, Jepun adalah pelabur asing ke-3 terbesar di Malaysia dalam sektor pembuatan bagi projek-projek yang dilaksanakan berjumlah RM90.9 bilion (USD27.6 bilion).” katanya.
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment