Ekonomi KHAS z10

Azmin kongsi tentang hasil dari Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat

21 Mei 2022 – Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada hari ini telah mengadakan sidang media mengenai hasil misi perdagangan dan pelaburan ke Amerika Syarikat. Di dalam sidang media tersebut beliau berkongsi dengan pengamal media tentang hasil dari Misi Galakan Perdagangan dan Pelaburan ke Amerika Syarikat bermula dari 9 Mei hingga 18 Mei lalu yang telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM16.52 bilion.

“Pencapaian ini merangkumi pengembangan pelaburan dan pelaburan baharu dari Syarikat terkemuka AS antaranya adalah Texas Instruments, Insulet, Ferrotec, AWS dan Cue Health.

Nilai pelaburan AS ini adalah satu kejayaan kepada negara, memberi bukti kukuh bahawa Malaysia kekal menjadi lokasi utama kepada firma asing untuk bertapak sekaligus menjadi pintu masuk ke ASEAN serta Asia.” kata Azmin dalam hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Katanya lagi, mungkin ramai yang bertanyakan, apakah pentingnya pelaburan AS ini kepada Malaysia.

Jelas beliau, sebagai negara kecil yang bergantung kepada perdagangan, komitmen syarikat luar untuk bertapak di Malaysia membuka pintu dan ruang kepada banyak perkara.

“Pertama sudah semestinya melalui pengukuhan ekonomi negara, membantu mencergaskan kembali ekonomi pasca pandemik COVID-19.

Kedua, ia membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi, meningkatkan produktiviti negara.

Ketiga, ia membolehkan kita mengadaptasi teknologi baru kepada perniagaan domestik serta mempercepatkan peralihan teknologi.

Keempat, pelaburan dari AS, sebagai antara negara kuasa besar dunia secara tidak langsung akan meningkatkan keyakinan pelaburan dari negara-negara lain.” kata Azmin.

“Saya percaya, lebih banyak kejayaan akan dapat kita kecapi dalam masa mendatang. Apa yang dilaksanakan ketika ini adalah untuk masa depan Malaysia yang lebih kukuh.” ujarnya.