Ekonomi @ My LNA

Jumlah dagangan Malaysia kekalkan Prestasi Positif bagi 17 bulan Berturut-turut

380

PUTRAJAYA, 19 Mei 2022 – Dagangan Malaysia menunjukkan peningkatan pada April 2022, dengan dagangan meningkat 21.3 peratus daripada RM190.8 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM231.4 bilion. Jumlah dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit yang kukuh untuk bulan ke-15 berturut-turut sejak Februari 2021.

BULETIN PERANGKAAN PERDAGANGAN LUAR NEGERI MALAYSIA, APRIL 2022 melaporkan eksport mencatatkan pertumbuhan kukuh 20.7 peratus berbanding April 2021, merupakan peningkatan tahun ke tahun yang ke-20 bulan berturut-turut sejak September 2020. Import meningkat 22.0 peratus kepada
RM103.9 bilion dan imbangan dagangan mencatatkan lebihan RM23.5 bilion, meningkat 15.7 peratus pada April 2022.

“Eksport Malaysia melonjak 20.7 peratus daripada RM105.6 bilion kepada RM127.5 bilion, bulan
kesembilan berturut-turut pertumbuhan dua angka tahun ke tahun. Pertumbuhan ini didorong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula. Eksport domestik bernilai RM103.4 bilion menyumbang 81.1 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 21.7 peratus, tahun ke tahun. Sementara itu, eksport semula mencatatkan RM24.1 bilion, meningkat 16.8 peratus. Selari dengan prestasi eksport, import pada April 2022 juga mencatatkan pertumbuhan dua angka 22.0 peratus daripada RM85.2 bilion kepada
RM103.9 bilion, mengatasi pertumbuhan eksport untuk empat bulan berturut-turut. Walau bagaimanapun, berbanding Mac 2022, prestasi jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan menunjukkan penurunan masing-masing 2.1 peratus, 3.1 peratus, 0.9 peratus dan 11.6 peratus.” kata Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini.

Selaras dengan pertumbuhan tahunan, 191 daripada 255 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, dipaju oleh injap & tiub termionik. Bagi import, 176 daripada 258 kumpulan mencatatkan pertumbuhan positif.

Dalam kenyatan yang sama, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga melaporkan bahawa peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Kesatuan Eropah (+RM2.7 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.2 bilion), China (+RM1.9 bilion), Australia (+RM1.9 bilion), Republik Korea (+RM1.5 bilion), Taiwan (+RM1.4 bilion), Singapura (+RM1.4 bilion), India (+RM1.4 bilion), Jepun (+RM1.4 bilion) dan Hong Kong (+RM1.2 bilion).

“Sementara itu, penyumbang utama kepada peningkatan import telah berubah sekali lagi, diterajui oleh Indonesia, dengan peningkatan RM2.8 bilion. Diikuti oleh Taiwan (+RM1.8 bilion), Singapura (+RM1.8 bilion), China (+RM1.7 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.7 bilion), Republik Korea (+RM1.4 bilion), Arab Saudi (+RM1.2 bilion) dan Emiriah Arab Bersatu (+RM1.0 bilion).” kata kenyataan tersebut.

Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, peningkatan mengikut produk didorong oleh barangan elektrik & elektronik (+RM10.0 bilion); barangan perkilangan logam (+RM2.5 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM2.1 bilion); kimia & bahan kimia (+RM1.8 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.8 bilion); gas asli cecair (+RM1.7 bilion) dan
petroleum mentah (+RM1.1 bilion). Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (+RM7.2 bilion); petroleum mentah (+RM2.9 bilion); kimia & bahan kimia (+RM1.8 bilion); biji logam & serpihan logam (+RM1.7 bilion) dan barangan perkilangan logam (+RM1.1 bilion).

“Pertumbuhan import mengikut Penggunaan Akhir disokong oleh permintaan tinggi bagi barangan perantaraan dan barangan penggunaan. Import barangan perantaraan (57.3% daripada jumlah import) berjumlah RM59.6 bilion, meningkat RM13.1 bilion atau 28.1 peratus. Barangan penggunaan (8.0% daripada jumlah import) mencatatkan kenaikan 9.7 peratus daripada RM7.5 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM8.3 bilion. Sebaliknya, import barangan modal yang berjumlah RM9.1 bilion, menurun 2.4 peratus berbanding April 2021, dan merangkumi 8.8 peratus daripada jumlah import.

Di samping itu, prestasi bagi Januari sehingga April 2022, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan kekal kukuh dengan pertumbuhan dua angka. Jumlah dagangan meningkat 22.9 peratus, disokong oleh perkembangan eksport (+21.8%) serta import (+24.3%). Pada masa yang sama, lebihan dagangan mencatatkan nilai yang lebih tinggi pada RM88.6 bilion.” katanya.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAUTAMA

Tindakan puak Houthi di Yaman tidak beri impak besar kepada ekonomi Malaysia

Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku...

AMBM @ MY LNAEkonomi @ My LNAKewangan @ My LNAUTAMA

Pelabur tunjuk minat tinggi untuk fahami asas dan potensi ekonomi Malaysia

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah mengetuai delegasi...

BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAUTAMA

17.65 Juta (58.7%) Profil Warganegara telah dikemaskini di Sistem PADU

PUTRAJAYA, 1 April 2024 – Seramai 11.55 juta (52.6%) warganegara berumur atas...