Ekonomi @ My LNA

Kilang papan lapis Malaysia masih belum dapat memenuhi permintaan dari AS

280

18 Mei 2022 – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Zuraida binti Kamaruddin berkata para pengeluar produk kayu Malaysia patut menyambut baik berita bahawa permintaan untuk produk kayu melebihi bekalan di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Tambahnya, pertikaian perdagangan yang berterusan antara AS dan China telah meletakkan Malaysia dan Indonesia sebagai satu-satunya pilihan sumber kayu untuk ekonomi terbesar dunia ini.

“Namun masa sekarang, kilang papan lapis Malaysia masih belum dapat memenuhi permintaan dari AS. Tidak ramai yang tahu sebenarnya pasaran untuk kayu Malaysia di AS, khususnya bagi kayu Meranti dan Keruing adalah agak tinggi.

Permintaan untuk kayu Meranti telah meningkat sebanyak 9% berbanding tahun lalu, manakala permintaan untuk kayu Keruing telah meningkat sebanyak 467%. Eksport produk kayu dari Malaysia kini agak perlahan kerana kekurangan balak daripada hutan semula jadi dan ini menyebabkan kilang papan sukar memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Selain itu, antara cabaran yang dihadapi oleh pengeksport kayu-kayan ialah kesesakan di pelabuhan disebabkan kekurangan kontena, ruang dalam kapal dan kekangan logistik yang lain. Namun begitu, “transshipment” telah dikenal pasti sebagai salah satu solusi untuk jangka masa sederhana. Dalam hal ini, Persatuan Produk Kayu Antarabangsa (IWPA) yang berpangkalan di AS telah menyatakan hasratnya untuk berbincang dengan ketua-ketua industri kayu-kayan Malaysia tentang cara bagi menangani isu yang dihadapi oleh sektor ini.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya ia akan melibatkan langkah-langkah untuk melindungi Malaysia daripada menjadi sasaran persatuan kayu-kayan domestik dan pihak berkuasa AS atas isu pengelakan perdagangan, satu rangka kerjasama juga sedang dibangunkan antara pegawai AS dan pihak berkuasa Malaysia seperti Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Jabatan Kastam.

Malaysia juga sedia bekerjasama rapat dengan UK, sama seperti dengan AS, untuk mengatasi kekurangan produk kayu di negara itu. Katanya, pada masa yang sama, Malaysia juga boleh mencari dan menambah nilai kepada produk kayu dari negara ketiga, terutamanya untuk produk yang disahkan di bawah PEFC (Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan).

“UK yang merupakan penyokong terbesar sekatan AS ke atas Rusia dan langkah ini telah teruk menjejaskan pasaran kayu negara itu dan Kesatuan Eropah (EU). Malaysia juga mempunyai kebimbangan dan pendapatnya tersendiri dalam cadangan ENVI (Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan Awam dan Keselamatan Makanan). Oleh itu, Malaysia perlu mengetahui pendirian UK mengenai cadangan ini dalam usaha mendapatkan konsensus mengenai definisi penebangan hutan dan kemerosotan hutan.

Walaupun menghadapi gangguan yang agak ketara dalam pasaran produk kayu, jumlah import UK meningkat sebanyak 15% dalam 2021, kenaikan yang terbesar sejak 2008. Mulai 1 Januari tahun ini, terdapat perubahan dalam peraturan kastam UK kerana ia akan meninggalkan rangka kerja Kastam Kesatuan Eropah dan Pasaran Tunggal. Justeru, industri perkayuan negara kita bakal mendapat manfaat daripada banyak produk yang bebas cukai dan ia juga mengurangkan keperluan untuk menuntut kadar duti khas.

Walaupun Malaysia mendapat manfaat daripada peraturan kastam UK yang dikemas kini, kita berharap kerajaan UK akan dapat juga memperkemaskan lagi prosedur dan pengendalian dokumen untuk masalah logistik semasa. Sebagai pembekal matang produk kayu, industri perkayuan Malaysia menunjukkan prestasi yang baik walaupun menghadapi kesan ekonomi yang buruk akibat pandemik COVID-19. Sektor ini mencatatkan pertumbuhan nilai eksport sebanyak 3.1% kepada RM22.7 bilion pada 2021 berbanding RM22.02 bilion pada tahun sebelumnya.” kata Zuraida.

Menurut Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC), eksport papan lapis menduduki tempat teratas dari segi nilai eksport dan bersama-sama dengan perabot kayu, kayu bergergaji, bahan binaan berasas kayu dan pertukangan kayu, mereka menyumbang lebih separuh daripada jumlah keseluruhan eksport.

Kata Zuraida, perlu diingati bahawa permintaan untuk produk berasaskan kayu dari Malaysia, terutamanya perabot, meningkat pada awal 2020 apabila ramai mula bekerja dari rumah. Ini menyebabkan peningkatan dalam pembinaan, pembaikan dan juga pemodelan semula rumah.

“Tahun 2021 juga menyaksikan satu lonjakan dalam permintaan untuk papan lapis Malaysia di AS dan di Jepun, di mana sebuah syarikat pengeluar papan lapis yang utama ditutup. Perlu diingat juga bahawa industri perkayuan Malaysia masih belum pulih sepenuhnya kerana ada lagi isu yang perlu diselesaikan seperti kenaikan dalam caj pengangkutan kapal laut, kontena yang tidak mencukupi, kekurangan tenaga kerja, dan kekurangan bahan mentah. MTC juga telah memperkenalkan pelbagai program sejak 2020 untuk membantu industri perkayuan negara mengatasi cabaran yang lebih mendesak.

Ia telah menyediakan insentif yang menggunakan kemajuan teknologi untuk membantu meningkatkan penggunaan sumber dengan efisien dan cekap dalam semua aspek serta membantu mengurangkan kos pengangkutan laut. Majlis ini juga telah mengeluarkan tujuh inisiatif Mesti Menang untuk 2022 dengan fokus untuk menghidupkan semula bisnes dengan beberapa program baharu bagi produk batang pokok kelapa sawit, kerjasama reka bentuk produk dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), dan merangka garis panduan Tadbir Urus Alam Sekitar dan Sosial (ESG) untuk industri perkayuan.” ujarnya.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles