Kesihatan @ My LNA

Hari Hipertensi Sedunia : KKM seru masyarakat amalkan C.E.R.D.I.K

553

18 Mei 2022 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa dari Tinjauan Kesihatan & Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih kurang separuh pesakit tidak mengetahui mereka menghidap penyakit hipertensi.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham bin Abdullah, adalah lebih menggusarkan lagi, hanya seorang daripada lima orang pesakit hipertensi berjaya mengawal penyakit tersebut.

“Ini menjadikan 80% daripada pesakit hipertensi terdedah kepada risiko komplikasi yang parah, termasuk serangan jantung, strok, degupan jantung tidak teratur dan kerosakan buah pinggang. Sehubungan dengan itu, Hari Hipertensi Sedunia 2022 ini disambut bertemakan Tekanan Darah Terkawal, Hidup Lebih Sejahtera (Measure Your Blood Pressure Accurately, Control It, Live Longer) bagi meningkatkan kesedaran dan kepentingan mengawal tekanan darah di kalangan masyarakat.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sempena Hari Hipertensi Sedunia tahun ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menyeru masyarakat agar mengambil langkah-langkah C.E.R.D.I.K. seperti berikut;

  • CERGASKAN Diri Anda

Lakukan aktiviti fizikal atau senaman pada intensiti sederhana sekurang-kurangnya 30 minit sehari, lima (5) hari seminggu.

  • ELAKKAN Pengambilan Alkohol

Pengambilan alkohol secara berlebihan dikaitkan dengan penyakit hipertensi.

  • ROKOK, Berhenti & Jangan Mulakan!

Jika anda seorang perokok, berhenti merokok. Jangan mula merokok, jika anda tidak merokok.

  • DIET Seimbang

Amalkan diet seimbang mengikut konsep Pinggan Sihat Malaysia dan hadkan pengambilan garam tidak melebihi satu (1) paras sudu teh sehari bagi mengurangkan risiko hipertensi, sakit jantung dan strok.

  • Berat Badan IDEAL

Capai dan kekalkan berat badan yang ideal. Berat badan berlebihan boleh meningkatkan risiko hipertensi.

  • KENDALI Stres

Mengurus dan menangani tekanan dengan baik secara tidak langsung mengurangkan tekanan darah tinggi seterusnya mencegah komplikasi.

“Justeru, dalam usaha untuk mengukuhkan aktiviti saringan kesihatan di kalangan rakyat Malaysia, KKM dengan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi akan menganjurkan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan bermula pada bulan Julai 2022. Melalui program ini, KKM berharap agar orang ramai tampil untuk melakukan saringan kesihatan agar pencegahan dan kawalan penyakit dapat dilakukan lebih awal.

KKM berharap agar Sambutan Hari Hipertensi 2022 ini akan meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap kepentingan pemeriksaan tekanan darah dan bahaya penyakit hipertensi kepada kesihatan dan seterusnya mengubah tingkah laku untuk mencegah dan mengawal penyakit hipertensi. Cakna status kesihatan kendiri dan amalkan langkah-langkah C.E.R.D.I.K. kerana kesihatan adalah milik kita semua. Kawal tekanan darah agar hidup lebih sejahtera.” kata Dr. Noor Hisham.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNAKesihatan @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Raikan Syawal sebagai ibu bapa prihatin, demi senyuman mereka

Oleh: Prof Madya Dr Lily Azura Shoaib, Dr Noorhidayah Zainal Aalam Sambutan...

AMBM @ MY LNAKesihatan @ My LNAPendidikan @ My LNA

OleoRangers pupuk kesedaran awam terhadap pemilihan, pengendalian minyak masak yang mampan

Makanan merupakan salah satu faktor yang paling penting dalam memastikan kesihatan. Makanan...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAKesihatan @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Komponen psikospiritual Islam perlu untuk mencegah bunuh diri

Oleh: Dr. Mohd Khairul Naim bin Che Nordin Apabila kerajaan negeri Kelantan...