Ekonomi @ My LNA

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.0% pada suku pertama tahun 2022

90

13 Mei 2022 – Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan bahawa ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 5.0% pada suku pertama tahun 2022 (S4 2021: 3.6%). Katanya dalam satu kenyataan hari ini, ia disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik apabila kegiatan ekonomi terus kembali normal dengan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.

“Keadaan yang bertambah baik ini juga mencerminkan pemulihan pasaran pekerjaan, dengan kadar pengangguran terus menurun kepada 4.1% (S4 2021: 4.3%), di samping sokongan dasar yang berterusan. Permintaan luaran yang kukuh berikutan peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan juga memberikan sokongan selanjutnya kepada pertumbuhan. Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan ekonomi dengan masing-masing berkembang sebanyak 6.5% dan 6.6%. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 3.9% (S4 2021: 4.6%).

Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.2% pada suku pertama (S4 2021: 3.2%). Hal ini mencerminkan terutamanya sumbangan yang lebih kecil daripada kesan asas yang luput daripada harga bahan api runcit yang lebih rendah tahun lalu, dan ketiadaan kesan asas daripada rebat tarif elektrik yang dilaksanakan pada tahun 2020. Inflasi teras meningkat kepada 1.7% pada suku itu (S4 2021: 0.8%). Hal ini mencerminkan pelarasan harga berikutan kos yang lebih tinggi serta keadaan permintaan yang bertambah baik, dengan kenaikan harga yang lebih ketara khususnya bagi item makanan disebabkan oleh faktor berkaitan bekalan seperti harga komoditi global yang lebih tinggi.” katanya.

Dalam pada itu, nilai ringgit menurun sebanyak 0.7% berbanding dengan dolar AS pada suku pertama tahun 2022 (keseluruhan tahun setakat 11 Mei 2022: -4.7%).

“Secara umumnya, penurunan ini adalah sejajar dengan pergerakan mata wang serantau (S1 2022: -0.8%; keseluruhan tahun: -3.4%). Hal ini disebabkan oleh kekukuhan dolar AS secara keseluruhan yang didorong oleh kadar faedah yang lebih tinggi di AS, sentimen penghindaran risiko global berikutan konflik di Ukraine dan jangkaan pertumbuhan yang sederhana di China. Harga komoditi yang tinggi dan prospek pemulihan Malaysia juga telah mengurangkan tekanan terhadap penurunan nilai ringgit daripada kesemua faktor luaran ini.

Pada masa hadapan, limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat dibendung meskipun pasaran kewangan domestik bergantung pada beberapa tempoh volatiliti yang tinggi. Kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan sistem perbankan yang berdaya tahan membolehkan ekonomi berhadapan dengan kejutan luaran.” jelas BNM.

Mengulas mengenai prospek tahun 2022, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah berkata, ekonomi dalam negeri dijangka terus bertambah baik tahun ini, dengan pertumbuhan diunjurkan antara 5.3% hingga 6.3% seperti yang diumumkan pada bulan Mac 2022.

“Unjuran ini disokong oleh permintaan dalam negeri yang lebih kukuh, permintaan luaran yang terus berkembang dan pasaran pekerja yang terus bertambah baik. Pertumbuhan juga akan menerima manfaat daripada pelonggaran sekatan, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan pelaksanaan projek pelaburan.” katanya.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAUTAMA

Tindakan puak Houthi di Yaman tidak beri impak besar kepada ekonomi Malaysia

Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku...

AMBM @ MY LNAEkonomi @ My LNAKewangan @ My LNAUTAMA

Pelabur tunjuk minat tinggi untuk fahami asas dan potensi ekonomi Malaysia

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah mengetuai delegasi...