Pada awal tahun ini, PLUS telah menyebabkan masalah kepada pengguna Lebuhraya Utara Selatan dengan menutup lorong SmartTAG dan menggantikan lorong-lorong ini dengan lorong RFID. Seperti dijangka, ramai pemandu terkejut dengan perubahan ini dan kesesakan telah berlaku di lorong MyRFID kerana sesetengah pemandu berfikir yang mereka masih boleh menggunakan SmartTAG mereka di lorong RFID dan juga kerana sesetengah pengguna RFID tidak memasang pelekat RFID mereka dengan betul. Rakyat Malaysia, dengan kreativiti mereka telah memberikan maksud alternatif kepada akronim RFID, Reverse Forward Insyallah Detect. Kejadian-kejadian ini telah membawa kepada keputusan kerajaan untuk mengarahkan pihak PLUS untuk meletakkan semula lorong-lorong SmartTAG dengan sekurang-kurangnya SATU lorong MyRFID tersedia untuk mereka yang mahu berpindah kepada sistem pembayaran tol baharu ini. Saya ingin kongsikan pengalaman peribadi saya sendiri dalam menggunakan MyRFID sejak bulan Mac 2022 dan mencadangkan beberapa cadangan untuk menambah baik infrastruktur kutipan tol di Malaysia.
Saya mula menggunakan MyRFID pada bulan Mac 2022 semasa saya berkempen dalam pilihan raya negeri Johor. Saya perasan yang banyak lorong tol di Johor Bahru dan kawasan berdekatan tidak mempunyai lorong SmartTAG, sebaliknya hanya mempunyai lorong Touch&GO dan satu lorong MyRFID. Kebiasaannya, lorong Touch&GO ini mempunyai barisan yang panjang, terutamanya di waktu kemuncak manakala lorong MyRFID agak lapang. Sangat mudah untuk saya dapatkan pelekat MyRFID melalui aplikasi Touch&GO EWallet, begitu juga dengan pemasangan pelekat tersebut di cermin kereta saya. (Paultan.org ada mempunyai panduan untuk membeli dan memasang pelekat MyRFID )
Kelebihan menggunakan MyRFID berbanding dengan SmartTAG ini termasuklah: (i) Tidak perlu mengangkat dan meletakkan semula SmartTAG (ii) Tidak perlu bimbang untuk menambah nilai kad Touch&GO secara fizikal memandangkan pelekat MyRFID saya disambungkan dengan baki eWallet TNG yang boleh ditambah nilai secara automatik apabila bakinya berkurangan di bawah amaun tertentu (RM100 untuk saya) (iii) Tidak perlu bimbang sekiranya SmartTAG saya kehabisan bateri (iv) Pergerakan yang lebih cepat melalui lorong MyRFID (dengan anggapan tidak ada sesiapa yang tersangkut di lorong tersebut) (v) Tidak perlu risau terlalu dekat dengan kereta di hadapan (vi) Mempunyai rekod transaksi pembayaran tol saya melalui aplikasi eWallet TNG (perkara ini berguna untuk tuntutan perjalanan).
Saya juga telah berhadapan dengan beberapa masalah kecil dalam menggunakan MyRFID, termasuklah (i) Lorong tol tidak membaca pelekat MyRFID saya sekiranya saya memandu terlalu laju apabila mendekati lorong tol (perkara ini hanya berlaku sekali dalam tiga bulan saya menggunakan MyRFID) (ii) Mempunyai hanya satu lorong MyRFID bermakna saya mungkin tidak dapat pergi ke lorong tersebut kerana terlalu bahaya untuk saya memotong melintangi beberapa lorong lain (contohnya di Plaza Tol Batu 11 di Lebuhraya Cheras Kajang) (iii) Masih perlu menggunakan SmartTAG sekiranya terdapat kenderaan yang tersangkut di lorong MyRFID (iv) Terlupa yang saya menggunakan MyRFID untuk memasuki sistem lebuhraya tertutup (seperti PLUS) dan keluar melalui lorong SmartTAG. Saya perhatikan kebanyakan masalah awal dengan MyRFID, termasuklah masalah pengesanan pelekat MyRFID, pemasangan yang tepat oleh pengguna, untuk memastikan terdapat baki eWallet yang mencukupi telah dapat dikurangkan memandangkan barisan panjang di lorong MyRFID kini jarang dilihat. Saya memang lebih gemar menggunakan MyRFID berbanding dengan SmartTAG dan selepas pengalaman positif saya, saya juga telah memasang pelekat RFID di kereta isteri saya.
Bergerak ke hadapan, terdapat beberapa perkara yang memerlukan kerjasama pihak PLUS, Touch&Go, dan Kementerian Kerja Raya (yang mengawal selia lebuh raya melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia) untuk menambah baik aliran trafik di plaza tol di seluruh negara. Cadangan saya adalah:
(i) Analisa data trafik di lorong MyRFID, SmartTAG dan Touch&Go untuk mengenal pasti keberkesanan setiap lorong ini dan untuk membolehkan perubahan yang sewajarnya.
Pemproses data yang dikutip di pelbagai plaza tol secara secara betul, terutamanya di kawasan dengan trafik yang tinggi, dapat memberikan gambaran yang tepat mengenai kelajuan trafik di pelbagai lorong tol yang ada. Sekiranya PLUS dan Touch&Go dapat menunjukkan aliran trafik adalah lebih laju di lorong MyRFID berbanding dengan lorong-lorong lain, perkara ini akan memberikan dorongan kepada pengguna lebuh raya untuk memasang pelekat MyRFID dan sasaran kerajaan untuk mencapai 60% penggunaan RFID menjelang hujung tahun 2022 mungkin dapat dicapai. Analisa data di pelbagai pelbagai plaza tol juga akan membolehkan pihak PLUS dan Touch&Go untuk mengenal pasti kawasan yang berkemungkinan sesak dan meletakkan lebih banyak aset di situ untuk menyelesaikan apa-apa masalah berkenaan pembayaran yang mungkin timbul.
(ii) Gunakan teknologi untuk mengingatkan pengguna lebuhraya mengenai baki yang rendah / pilihan tambah nilai automatik.
Sekiranya baki eWallet seseorang pengguna MyRFID agak rendah, beliau boleh diperingatkan untuk menambah nilai baki ini melalui SMS atau apa-apa bentuk makluman yang lain. Pengguna juga boleh digalakkan untuk menggunakan fungsi tambah nilai automatik yang tersedia. Notifikasi yang serupa juga dapat diberikan kepada para pengguna yang menghubungkan kad TNG mereka dengan eWallet (untuk pengguna SmartTAG).
(iii) Laksanakan dan benarkan baki negatif (sistem bayar kemudian) untuk melancarkan aliran trafik.
Salah satu sebab utama kenderaan tersangkut di plaza tol adalah kerana baki yang tidak mencukupi di dalam kad TNG atau eWallet mereka. Paul Tan, pengasas paultan.org mencadangkan satu penyelesaian yang sangat praktikal dengan membenarkan baki negatif untuk satu kali dalam kad TNG atau eWallet, disusuli dengan peringatan kepada pengguna untuk menambah nilai baki kad atau eWallet mereka.
(iv) Laksanakan MyRFID untuk bas, lori, dan kenderaan berat lain.
Perkara ini sepatutnya dilaksanakan pada tahun 2023, tetapi boleh dipercepatkan untuk meningkatkan aliran trafik terutamanya di pintu masuk dan keluar PLUS yang hanya mempunyai 2 atau 3 lorong.
(v) Tingkatkan kesediaan stok Kad Touch&Go Baharu.
Kad ini, yang membolehkan tambah nilai secara bukan fizikal untuk kad TNG telah pun mula dijual tetapi masih dalam kuantiti yang terhad. Peningkatan stok kad ini akan membolehkan proses tambah nilai kad TNG yang lebih mudah yang akan mengurangkan kemungkinan kenderaan tersangkut di plaza tol akibat baki yang tidak mencukupi.
(vi) Letakkan garis masa untuk mengubah lorong SmartTAG kepada lorong MyRFID.
Selepas suatu tahap pengguna MyRFID dicapai, lebih banyak lorong SmartTAG patut ditukar menjadi lorong MyRFID untuk meningkatkan aliran trafik di plaza tol. Rancangan ini perlu dilaksanakan bersama dengan pemegang taruh yang berkenaan seperti di atas.
(vii) Hubungkan MyRFID kepada sistem bayaran lain.
Buat masa ini, MyRFID dimiliki dan dioperasi oleh T&G EWallet. Terdapat cadangan untuk membenarkan sistem bayaran yang lain untuk mengakses pelekat MyRFID supaya pengguna lebuh raya dapat memilih sistem bayaran yang dimahukan mereka. Perkara ini memerlukan keputusan dan hala tuju dasar daripada Kementerian Kerja Raya. Pilihan ini akan menyelesaikan aduan mengenai monopoli sistem bayaran tol oleh T&G.
(viii) Nyatakan garis masa rancangan untuk berpindah kepada sistem aliran bebas pelbagai lorong
Kementerian Kerja Raya pernah menyatakan yang matlamat akhir untuk sistem bayaran tol adalah sistem aliran bebas pelbagai lorong (Multi Lane Free Flow) (MLFF) di mana plaza tol sendiri juga dibuang. Cara yang terbuka dan telus untuk merealisasikan rancangan ini diperlukan supaya peralihan ini dapat dirancangan dengan baik.
(Untuk yang berminat dengan perbincangan yang lebih panjang dan mendalam mengenai MyRFID dari tahun 2019 yang masih relevan sehingga hari ini, sila tonton video Youtube oleh Soya Cincau berikut – Let’s Talk About #14: RFID )
Dr Ong Kian Ming
Ahli Parlimen Bangi
11 Mei 2022
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment