Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

MAKERSLAB MRANTI AKAN MEMPERLUASKAN DAN MEMPERCEPATKAN PEMBEKALAN IDEA

178

KUALA LUMPUR 25 April 2022 – Di kala dunia beralih ke era Revolusi Perindustrian Ke-4 (IR4.0), peluang dalam kecerdasan buatan (AI), automasi, elektrifikasi, sains data, pengkomputeran awan dan percetakan
3D semakin pesat berkembang.

Dalam memacu daya saing dan matlamat Malaysia untuk menjadi negara berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba hari ini menggariskan beberapa usaha utama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam
memanfaatkan pelbagai peluang bagi memperluaskan dan mempercepatkan inovasi untuk negara, demi menyelesaikan cabaran yang wujud dalam masyarakat dan sektor tertentu.

YB Dato’ Sri Dr. Adham berkata, “Hasrat MOSTI adalah untuk mencipta nilai yang mampan (sustainable value). Dalam rantaian nilai ini, kami ingin memupuk inovasi bermula daripada akarnya, supaya kita dapat menjamin kelangsungan idea dan produk inovatif.”

Pelbagai inisiatif telah dirancang di Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) antaranya ialah MakersLab yang akan mula beroperasi bulan Mei ini.

MakersLab berkeluasan 2,000 kaki persegi bertempat di MRANTI Park dan bertemakan IR4.0 merupakan pusat untuk komuniti inovator berkumpul, berkongsi buah fikiran serta menjalankan eksperimen bagi meningkatkan penciptaan dan inovasi tempatan. Pusat pembelajaran dan pembangunan ini sesuai untuk inovator pelbagai peringkat usia melahirkan idea dalam satu ruang khusus.

MakersLab bakal menjadi pemangkin budaya ‘pencipta’ melalui pendekatan ‘belajar dengan melakukan’. Di sini, komuniti inovator, pelajar dan pencinta inovasi secara amnya akan mempunyai akses yang pantas, mudah dan dengan kos berpatutan dalam membantu proses penyelidikan dan eksperimen mereka. Akses ini membolehkan mereka memanfaatkan peralatan, perkakas, ruang dan pengetahuan tersedia untuk menghasilkan prototaip penyelesaian masing-masing dengan kadar yang pantas. Justeru, ia adalah kemudahan ideal untuk menguji idea berskala kecil dalam persekitaran terkawal (sandbox), serta bermain’ dengan perkakasan dan perisian dalam ruang khusus yang dilengkapi dengan sumber dan alatan yang diperlukan dari ‘sumber terbuka’.

Perkongsian disampaikan oleh YB Dato’ Sri Adham Baba semasa Majlis Iftar Silaturrahim Pengarang Media bersama YB Menteri MOSTI dan MRANTI.

Menurutnya lagi, inovasi yang baik lahir daripada perlunya penyelesaian untuk sesebuah masalah, digandingkan pula dengan eksperimen dan keupayaan untuk beradaptasi dengan pantas. MakersLab akan membenarkan inovator untuk melalui kegagalan tetapi akan membantu mereka untuk berjaya dalam masa yang pantas dengan bimbingan untuk mencipta penyelesaian yang lebih baik.

MakersLab membolehkan individu dan komuniti yang mempunyai minat dalam inovasi untuk membentuk idea mereka dalam bentuk prototaip dengan menggunakan pelbagai bahan seperti kayu, plastik, logam dan tekstil yang berbeza. Ia dilengkapi dengan mesin CNC (Computerised Numerical Control) , pemotong laser, tablet lukisan 3D, pengimbas dan pencetak, perkakas berkuasa tinggi, alatan bertukang, meja kerja elektronik, kit pemodelan dan perisian CAD. Pada masa yang sama, tenaga pengajar akan berada di lokasi untuk mengajar ‘bagaimana cara untuk membuat sendiri’ menggunakan alatan dan perkakas dengan cara yang selamat.

Di MakersLab, orang ramai boleh mengambil bahagian dalam sesi senario ‘pencipta’ termasuk: ‘Memanfaatkan Tenaga daripada Tenaga Suria’, ‘Membina, Menerbangkan dan Memandu Dron Sayap Tetap’, ‘Membina dan Mengekod Robot Pengikut Garis’, ‘Reka Bentuk Permainan’ dan pelbagai
projek Kejuruteraan DIY yang menyeronokkan.

MakersLab adalah sebahagian daripada kemudahan yang diintegrasikan di MRANTI Park (dahulu dikenali sebagai Taman Teknologi Malaysia) seluas 686 ekar untuk perkhidmatan penyelidikan, pembangunan, pengkomersilan dan inovasi (R&D&C&I) daripada peringkat awal sehingga peringkat akhir.

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *