Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

Permohonan DCG dibuka sehingga 30 April 2022

72

21 April 2022 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan bahawa permohonan untuk Geran Kandungan Digital (DCG) bagi tahun 2022 sedang dibuka.

Dalam satu kenyataan media semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata syarikat-syarikat kandungan kreatif digital dengan modal berbayar minimum sebanyak RM20,000 amat digalakkan untuk memohon dan mereka boleh memilih  antara geran untuk kos pembangunan bernilai sehingga RM300,000 atau kos pemasaran dan pelesenan harta intelek (IP) sehingga RM500,000.

“Saya sedar bahawa persekitaran perniagaan amat mencabar ketika ini, khususnya kepada syarikat pemula dan syarikat yang terjejas sebelum ini. Oleh itu, saya yakin inisiatif DCG ini mampu menjadi pemangkin kepada mereka untuk kekal kukuh dan lebih berdaya saing di pasaran tempatan dan global.

Sejak tahun 2016, MDEC telah meluluskan 55 projek bernilai lebih RM34.5 juta bagi membantu syarikat kandungan kreatif digital dalam membiayai idea di peringkat pembangunan dan memastikan ia menjadi lebih mesra pelaburan dan kebolehpasaran.

Antara kandungan kreatif digital yang berjaya dicipta melalui inisiatif ini termasuk siri Didi & Friends oleh DD Animation Sdn Bhd, Ejen Ali the Movie oleh Wau Animation Sdn Bhd, dan animasi Astrology oleh Lemon Sky Animation Sdn Bhd.” kata Annuar.

Dalam pada itu, filem animasi Ejen Ali the Movie telah mencatat rekod sebagai filem animasi tempatan yang paling laris dengan kutipan pawagam sebanyak RM35 juta.

“Saya berharap, syarikat yang menerima manfaat daripada DCG, mampu melakar sejarah dan pencapaian yang lebih baik berbanding sebelum ini dan K-KOMM menerusi MDEC akan terus komited menyediakan pelbagai bantuan lain khususnya dalam membantu pertumbuhan ekosistem pembangunan kandungan digital negara.” tambah Annuar.

DCG yang telah diperkenalkan sejak 2016 merupakan inisiatif MDEC menyasarkan untuk membantu para pencipta kandungan digital di negara ini, membangunkan kandungan baharu atau memasarkan dan melesenkan harta intelek (IP) seperti kandungan animasi, media interaktif dan permainan digital.

DCG merupakan salah satu siri geran terawal yang direka khas oleh MDEC untuk industri kandungan kreatif digital bagi tahun 2022.

Permohonan DCG dibuka sehingga 30 April 2022 dan syarikat yang berminat boleh melayari laman sesawang https://mdec.my/DCG untuk maklumat lanjut.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member