KUALA LUMPUR, 22 April 2022 : Setiap daripada kita perlu memainkan peranan masing-masing dalam mewujudkan ekosistem ekonomi hijau bertepatan dengan tema Hari Planet Bumi Antarabangsa 2022 iaitu “Melabur untuk Planet” (Invest for Planet) yang disambut pada 22 April.
Menurut Dr. Zul Ilham Zulkiflee Lubes yang merupakan Profesor Madya di Program Sains Pengurusan Alam Sekitar, Institut Sains Biologi, Fakulti Sains dan juga Timbalan Pengarah, Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya, setiap individu boleh selamatkan bumi melalui 6 pendekatan efektif ini.
“Sebagai pengguna, kita selalu dimomokkan bahawa syarikat gergasi menyediakan produk berasaskan apa yang pengguna mahukan. Realiti yang sebenar ialah pengguna mempunyai kuasa untuk mendidik syarikat gergasi untuk menjadi lebih mesra alam sekitar melalui pilihan pembelian yang bijak. Sekecil-kecil perubahan seperti membeli syampu yang tiada bijian mikroplastik dan mudah terbiodegradasi boleh menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar.
“Sebagai rakyat yang prihatin, kita juga wajar menggunakan hak yang ada untuk memilih kepimpinan yang bukan hanya lantang ingin membawa negara menjadi harimau ekonomi, tetapi juga yang menyasarkan aktiviti ekonomi yang hijau dan mapan. Di samping itu, rakyat juga bertanggungjawab memastikan wakil yang dilantik berperanan membawa suara mereka dalam penggubalan polisi dan undang-undang serta melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan sebarang pencemaran alam sekitar yang berlaku di kawasan masing-masing.
“Selain itu, kita juga boleh bergerak dalam satu komuniti dalam meminimumkan kesan pulau haba bandar (urban heat island effect) melalui penanaman pokok malar hijau yang turut boleh membantu menapis pencemaran dan memelihara sumber air. Jika tinggal di kediaman yang tidak sesuai untuk tanaman pokok kerana kekangan ruang, menanam daun kari, daun kunyit atau tanaman herba lain di dalam pasu juga dapat menghubungkan kita dengan alam dan merupakan satu bentuk pendidikan alam yang baik untuk kanak-kanak,” beliau berkata.
Dr. Zul Ilham juga berkata, tempat kerja kita juga adalah komuniti kita. Apa yang dapat kita dilakukan ialah dengan melibatkan diri dalam aktiviti dialog sosial berkaitan alam sekitar yang kebanyakannya bakal dianjurkan oleh majikan masing-masing terutamanya di sekitar tarikh sambutan hari-hari penting seperti Hari Planet Bumi Antarabangsa ini. Melalui platform inilah, kita dapat memainkan peranan dalam memandu proses membuat keputusan yang lebih lestari dan mempengaruhi polisi pengurusan setempat.
“Di peringkat nasional pula, kerajaan telah dan sedang giat memantapkan strategi dan pelaksanaan inisiatif Malaysia Lestari 2030 selaras dengan Pelan Kelestarian Alam Sekitar Malaysia 2020-2030 dan kita bolehlah terlibat dalam mana-mana inisiatif pilihan yang dirasakan bersesuaian seperti menjadi sukarelawan dalam Program Denai Sungai Kebangsaan atau menyokong aktiviti ekonomi hijau.
“Sekumpulan 14 orang Saintis dari Universiti Stockholm telah merumuskan dalam kajian mereka bahawa pencemaran dan pelepasan entiti baru iaitu bahan kimia termasuk plastik telah melepasi sempadan batas planetan (planetary boundary). Terdapat 9 batas planetan yang telah dikenalpasti yang mana 5 daripadanya telahpun melepasi sempadan amaran iaitu aliran biogeokimia, integriti biosfera, perubahan sistem tanih, perubahan iklim dan yang terkini pencemaran entiti baru. Empat lagi batas planetan iaitu penggunaan air tawar, pengasidan lautan, peratusan aerosol dalam udara dan penipisan lapisan ozon masih berada di bawah paras yang membimbangkan buat masa ini. Ini menunjukkan yang pendekatan efektif bersama harus dilakukan oleh kita semua sebagai warga planet bumi ini sebelum semua sempadan risiko ini dilepasi dan dunia mengalami kemudaratan yang tidak dapat dibendung lagi.
“Walaubagaimanapun, usahlah risau jika kita tidak dapat memuatkan kesemua aktiviti kepenggunaan hijau, tindakan komuniti dan kenegaraan yang disarankan dalam kehidupan seharian yang sibuk ini. Melibatkan diri dalam semua perkara tersebut bukanlah satu kewajipan untuk semua tetapi memadailah dengan kita berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk alam sekitar dan planet bumi ini. Di bulan Ramadhan yang mulia ini, lebih-lebih lagi untuk umat Islam, marilah kita hayati pesanan junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w. yang boleh diringkaskan membawa maksud; jika esok adalah hari terakhir untuk dunia ini dan di tangan kita ada biji benih, hendaklah kita tanam biji benih tersebut kerana ianya bakal membawa kebaikan,” beliau berkata.
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment