Gaya Hidup @ My LNA

PAMERAN P.RAMLEE DAN SALOMA DI PUSAT BELI-BELAH FAHRENHEIT88, BUKIT BINTANG, KUALA LUMPUR

250

KUALA LUMPUR: 14 April 2022 – Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Pusat Beli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur menganjurkan pameran khas P.Ramlee dan Saloma di Tingkat 2 pusat beli-belah tersebut mulai 14 April 2022 hingga 16 Mei 2022. Pameran khas ini diadakan bersempena dengan kempen “Raya Melodies” anjuran Fahrenheit88 sepanjang Ramadan dan Syawal tahun ini yang memilih Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma sebagai tema dekorasi pusat beli-belah itu.

Nama Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sememangnya sinonim dengan perkembangan dan pembangunan industri perfileman dan penerbitan muzik tanah air. P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929. Minat beliau yang mendalam terhadap seni muzik, seni lakon, pembikinan filem dan penggubahan lagu terserlah sejak beliau masih muda lagi.

Kerjaya beliau sebagai anak seni bermula ketika P.Ramlee ditawarkan berlakon di dalam sebuah filem bertajuk Chinta pada tahun 1948. Kesungguhan dan keupayaan beliau mempelajari pelbagai aspek pembikinan filem menyebabkan beliau diberi peluang mengarah filem Penarek Becha pada tahun 1955. Filem ini telah terpilih sebagai filem terbaik dan beliau dipilih sebagai “Pengarah Terbaik” pada tahun 1956. Sepanjang hayatnya, P.Ramlee telah berlakon hampir 66 buah filem, mengarahkan 37 buah filem dan mencipta banyak lagu. Hampir 250 buah lagu yang dicipta oleh beliau telah menjadi popular.

P.Ramlee pernah menerima banyak anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Antaranya, beliau telah terpilih sebagai “Pelakon Lelaki Terbaik” untuk filem Anakku Sazali di Pesta Filem Asia, Tokyo pada tahun 1957 dan memenangi filem “Komedi Terbaik” di Pesta Filem Asia ke 6 pada tahun 1959 bagi filem Pendekar Bujang Lapok. Demikian juga filem Nujum Pak Belalang dan filem Madu Tiga telah memenangi anugerah “Filem Komedi Terbaik” pada tahun 1958. Dalam Pesta Filem seluruh Asia pada tahun 1963, beliau telah menerima satu anugerah luar biasa, “The Most Versatile Talent” melalui filem Ibu Mertuaku.

Manakala pasangan hidup P.Ramlee iaitu Salmah binti Ismail atau lebih dikenali sebagai Saloma adalah seorang anak seni sejati yang telah mengabadikan dirinya semata-mata hanya untuk seni sepanjang hayatnya. Beliau dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura pada 22 Januari 1935. Saloma mula mengasah bakatnya dalam bidang seni suara apabila mendapat peluang untuk membuat persembahan bersama Kumpulan “The Singapore Boy” di New World Cabaret dan nyanyian pertama beliau adalah “Seven Lovely Days”.

Pada tahun 1950-an, Saloma hanya dikenali melalui lagu-lagu dendangannya serta watak sampingan dalam filem-filem Melayu sehinggalah beliau melakonkan watak utama dalam filem Azimat (1958) dan filem Kaki Kuda (1958) dan terus melangkah ke dalam bidang lakonan dengan membintangi beberapa filem popular seperti Seniman Bujang Lapok (1961), Ragam P.Ramlee (1964) dan Ahmad Albab (1968).

P.Ramlee dan Saloma telah melangsungkan perkahwinan pada 31 Oktober 1961 dalam satu majlis yang amat sederhana. Keserasian yang ditonjolkan oleh pasangan ini sering mendapat pujian dan digelarkan sebagai pasangan merpati dua sejoli. Sikap Saloma yang mencintai P.Ramlee seadanya sebagai seorang yang biasa menyebabkan beliau kekal menjadi suri hidup sehati sejiwanya sehingga ke akhir hayat mereka berdua.

Sebagai seorang seniman Agung yang serba boleh, P.Ramlee berjaya mengetengahkan unsur-unsur kebudayaan melayu dan kesepakatan dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama di dalam setiap karya filem yang dihasilkan. Karya yang ditonjolkan olehnya bukan sahaja relevan sepanjang zaman
tetapi juga sarat dengan nilai dan kritikan sosial yang tajam. Malah beliau berjaya mempamerkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu padu tanpa mengira bangsa, kaum dan budaya. Karya-karya beliau mampu untuk melahirkan masyarakat yang harmoni dan mempunyai nilai budaya yang tinggi.

Kerana kekuatan ‘aura bintang’ kedua-dua tokoh inilah pihak Fahrenheit88 dan Arkib Negara Malaysia bersepakat untuk mengangkat mereka berdua dalam menyemarakkan sambutan Syawal pada tahun ini dengan tema “Raya Melodies” memandangkan negara kita telah beralih ke fasa endemik. Sudah dua tahun pusat beli-belah sunyi sepi tanpa sebarang aktiviti perayaan yang besar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Pemilihan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma ini diharapkan dapat mengembalikan kemeriahan sambutan perayaan di negara ini.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNASukan @ My LNAUTAMA

Larian donat kikis imej buruk pemanis mulut

Rakyat Malaysia merupakan antara yang tergemuk di dunia, menurut perangkaan yang terkini....

Biz @ My LNABM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNANiaga @ My LNAUTAMA

Gen Z Percaya Pendapat Pengguna dan Pakar di Shopee

KUALA LUMPUR, 15 April 2024 – Hasil tinjauan ‘Masa Hadapan Membeli-belah: Menawan...

Biz @ My LNABM @ MY LNAGaya Hidup @ My LNAUTAMA

Kajian ‘Masa Hadapan Membeli-belah’ Shopee Dedah Tabiat Beli-Belah Gen Z

KUALA LUMPUR, 4 April 2024 – Shopee, platform e-dagang terkemuka di Asia...