Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

Surat terbuka kepada Pengerusi SKMM mengenai kemungkinan perubahan rancangan pelaksanaan infrastruktur 5G – Dr Ong Kian Ming

257

Dr. Fadhlullah,

Saya merujuk kepada senarai 15 soalan saya kepada Digital Nasional Berhad (DNB) dan 21 muka surat jawapan daripada CEO DNB kepada persoalan-persoalan ini. Saya juga ingin merujuk senarai 10 soalan saya kepada Operator Rangkaian Mudah-alih (MNO). Saya lampirkan bersama dengan surat ini jawapan satu muka surat yang diterima daripada syarikat MNO di bawah.

Memandangkan syarikat MNO telah mengesahkan bahawa mereka telah mencadangkan model Rangkaian Dua Pemborong (DWN) kepada kerajaan Malaysia, rakyat berhak untuk mengetahui butiran dan memahami implikasi cadangan DWN oleh MNO ini. Saya juga percaya bahawa sebagai pengawal selia bebas sektor telekomunikasi, SKMM sepatutnya mempunyai pendiriannya sendiri yang dinyatakan secara terbuka mengenai cadangan oleh pihak industri ini. Oleh itu, saya mengemukakan soalan-soalan berikut untuk dijawab secara terbuka atas kapasiti anda sebagai Pengerusi MCMC:

1. Adakah SKMM menyokong peralihan daripada model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) kepada model Rangkaian Dua Pemborong (DWN) seperti yang dicadangkan oleh syarikat MNO? Jika jawapan kepada soalan ini adalah YA, apakah yang telah berubah sejak kenyataan SKMM pada 2 Mac 2021 bertajuk “Penyeliaan SKMM terhadap Digital Nasional Berhad – Syarikat Tujuan Khas Kerajaan Malaysia untuk 5G” di mana SKMM menyatakan bahawa “dengan menghapuskan keperluan untuk syarikat telekomunikasi sedia ada untuk melabur dalam rangkaian 5G, usaha dan sumber mereka boleh terus ditumpukan pada menambah baik dan mengembangkan perkhidmatan 4G dan rangkaian gentian di bawah program JENDELA yang begitu penting untuk kejayaan penggunaan 5G. Ini pada masa yang sama akan memastikan bahawa jurang digital dapat dikurangkan”

2. DNB telah menerangkan struktur dan model operasinya secara terbuka dan telah mengadakan banyak taklimat dengan pihak berkepentingan termasuk kepada Ahli Parlimen. Adakah butiran model DWN yang dicadangkan oleh syarikat MNO ini juga akan diterbitkan kepada pihak berkepentingan, termasuklah Ahli Parlimen bagi membolehkan semua pihak memberi maklum balas? Dari perspektif ketelusan, tidakkah penting bagi industri telekomunikasi untuk mematuhi piawaian yang sama seperti DNB, yang kesemuanya dikawal selia oleh SKMM?

3. Salah satu soalan penting yang memerlukan jawapan dengan model DWN ialah sama ada syarikat MNO akan dibenarkan menumpukan pembangunan infrastruktur di kawasan bandar yang lebih menguntungkan dan mengikuti model penggunaan 5G yang “diterajui permintaan”. Adakah SKMM bersetuju dengan model DWN di mana konsortium yang diketuai MNO akan dibenarkan memberi tumpuan sebahagian besarnya di kawasan bandar yang lebih menguntungkan mengikut model penggunaan 5G “diterajui permintaan” dan membiarkan DNB untuk memberi tumpuan kepada kawasan separa bandar dan luar bandar yang kurang menguntungkan? (Dalam erti kata lain, biarkan sektor swasta mengaut keuntungan daripada penggunaan 5G dan biarkan kerajaan membayar kos pelancaran 5G di kawasan yang tidak menguntungkan, sebahagian besarnya di luar bandar)

4. Jika model DWN yang disebut di atas adalah apa yang dicadangkan oleh syarikat MNO, apakah implikasinya terhadap kemampanan kewangan DNB? Jika sebagai contoh, MNO dibenarkan untuk memberi tumpuan hanya kepada kawasan bandar yang lebih menguntungkan, adakah ini bermakna DNB tidak akan menerima sebarang atau sangat sedikit hasil daripada MNO untuk akses kepada rangkaian 5G DNB di kawasan luar bandar? Jika ini berlaku, apakah kemungkinan DNB perlu “menutup kedai” hanya meninggalkan konsortium yang diketuai MNO yang tinggal dalam ruang penggunaan 5G, dengan itu menjadikan DWN sebagai model SWN tetapi yang dimiliki sepenuhnya dan dikawal oleh sektor swasta?

5. Apakah implikasi kewangan kepada kerajaan Malaysia jika kita beralih daripada model SWN kepada model DWN? Berapa banyak yang perlu dibelanjakan oleh kerajaan untuk menampung kos pembangunan infrastruktur 5G oleh DNB yang tidak dapat ditampung dengan caj bayaran kepada MNO (kerana permintaan yang lebih rendah di kawasan luar bandar?) Adakah DNB boleh meminjam wang daripada pasaran terbuka dan institusi pelaburan dalam persekitaran model perniagaan DWN? Berapa banyak lagi dari segi caj perkhidmatan faedah yang perlu DNB bayar dalam persekitaran model perniagaan DWN berbanding SWN? Apakah kemungkinan liabiliti undang-undang yang DNB perlu hadapi daripada pembekal, kontraktor dan vendornya, termasuklah Ericson?

6. Jika terdapat keputusan kabinet bahawa Malaysia perlu menukar daripada model SWN kepada model DWN yang serupa dengan apa yang telah dicadangkan oleh syarikat MNO, berapa lamakah pembangunan infrastruktur 5G akan tertangguh akibat daripada pertukaran model ini? Perlu diingatkan bahawa Malaysia sudah ketinggalan di belakang negara jiran kita dari segi penggunaan 5G dan perkara ini telah mengakibatkan Malaysia kehilangan daya saing dari segi kelajuan muat turun mudah alih menurut laporan industri baru-baru ini.

Akhir sekali, saya percaya yang SKMM perlu memainkan peranannya sebagai pengawal selia bebas untuk menjaga kepentingan rakyat Malaysia. SKMM perlu menerbitkan butiran model DWN yang dicadangkan oleh syarikat MNO kepada orang ramai dan SKMM juga perlu mengambil kedudukan yang jelas mengenai implikasi cadangan seperti dengan mengambil kira perspektif yang paling menyeluruh.

Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Bangi merangkap Pembantu Pengarah Pendidikan Politik Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Lampiran 1: Surat daripada CELCOM, DIGI, MAXIS dan UMOBILE kepada senarai 10 soalan daripada YB Dr. Ong Kian Ming kepada Operator Rangkaian Mudah Alih (MNO) pada 14 Februari 2022

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member