MARA beri kelonggaran bayaran balik pinjaman pelajaran dan sewa premis perniagaan kepada mangsa banjir
24 Disember 2021 – Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan bahawa Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi kelonggaran untuk penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran kepada mereka yang terkesan dengan bencana banjir.
Tambah beliau, peminjam perniagaan turut diberi kelonggaran itu selain pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan kepada peniaga yang terjejas.
“Bagi mereka yang menjadi mangsa banjir dan terkesan dengan bencana itu, mereka boleh memohon kelonggaran tersebut dengan menghubungi Pejabat MARA Negeri atau Daerah berhampiran.
Insentif ini merupakan tanda keprihatinan MARA terhadap kepayahan dan kerugian yang ditanggung oleh penerima kemudahan yang terjejas akibat bencana tersebut,” kata Mahdzir dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
MARA juga tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam kemudahan MARA yang terkesan dengan bencana banjir yang melanda kali ini. Kata Mahdzir, bagi penyewa premis perniagaan MARA pula, pertimbangan pengecualian bayaran sewa adalah berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung oleh penyewa.
“Saya berharap insentif ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan beban peminjam terutamanya usahawan dalam memulihkan kembali operasi dan aliran tunai syarikat.
Kita juga amat bersimpati dengan musibah bencana banjir yang melanda kali ini dan berharap agar semua mangsa yang terkesan dapat bersabar dengan ujian yang terpaksa dihadapi ini,” kata Mahdzir.
- PROGRAM CONSUMER FUN RIDE DAN PROGRAM JUALAN KELUARGA MALAYSIA MERANCAKKAN LAGI SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN PERINGKAT WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR
- Gempa bumi lemah berlaku di Kundasang, Sabah
- COVID-19 : Jumlah kes sembuh 4,645
- Gempa bumi sederhana berlaku di Selatan Sumba, Indonesia, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia
- PENYELIDIKAN END-OF-LIFE VEHICLE (ELV) MENGGALAKKAN KERJASAMA AKADEMIK, PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN TEKNOLOGI DALAM BIDANG PENGURUSAN KENDERAAN AKHIR HAYAT ATAU END-OF-LIVE VEHICLE (ELV)