HIGHLIGHTS Luar Negara

Pihak Singapura dirayu ringankan hukuman Nagaenthran -ABIM

8 November 2021 – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merayu agar Singapura meringankan hukuman yang dikenakan kepada warganergara Malaysia Nagaenthran Dharmalingam yang dikenakan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Singapura.

Menurut Presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz di dalam satu kenyataan media yang diedarkan hari ini, berasaskan hujahan peguam tertuduh yang tidak dipertikai di Mahkamah, tertuduh adalah seorang kurang upaya pada akalnya dengan IQ serendah 69 dan menghadapi Attention Deficit Hyperactivity (ADHD) sehingga tidak dapat membuat pertimbangan waras.

“IQ 69 tersebut bermaksud Nagaenthran termasuk dalam kategori orang kurang berkeupayaan yang memerlukan pertimbangan yang wajar.

ABIM menghormati prinsip kedaulatan sesebuah negara yang tidak boleh melibatkan campur tangan dari pihak luar khususnya dalam bidang penguatkuasaan undang-undang.

Namun, ABIM menekankan rayuan kepada pihak kerajaan dan pentadbir undang-undang Singapura untuk mempertimbangkan kes ini atas kapasiti tertuduh sebagai OKU dengan meringankan hukuman ke atas tertuduh.” kata Faisal.

ABIM turut mendoakan semoga usaha bersama antara Malaysia dan Singapura untuk membanteras penyeludupan dadah berjaya, dalam masa sama ia dilandasi pertimbangan keadilan yang sewajarnya.