Kenyataan Media

KELUARGA MALAYSIA : RUKUN NEGARA ASAS KESEPADUAN WATAN

217

Penulis : Tinta Maya (Jabatan Komunikasi Komuniti)

Rukun Negara adalah merupakan dokumen asas tatacara kehidupan bermasyarakat warga Malaysia yang telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bertujuan untuk membina perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum berlandaskan kesepaduan dan keharmonian antara kaum menerusi prinsip-prinsip yang terkandung dalamnya.

Setelah lebih lima dekad berlalu, Rukun Negara yang diwujudkan oleh Majlis Perundingan Negara (MAPEN) telah berjaya menjadi asas utama bagi resipi kesepaduan dan keharmonian kaum di Malaysia di mana warga Malaysia dan pentadbiran keselamatan negara khasnya, dengan menginsafi bahawa tragedi berdarah 13 Mei 1969 tidak wajar berulang lagi di bumi bertuah ini.

Menyedari hakikat berkenaan serta pentingnya kesepaduan dan keharmonian kaum dikekalkan, maka prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara ini telah dijadikan tunjang utama di dalam pelaksanaan konsep Keluarga Malaysia yang baharu diperkenalkan oleh YAB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri Malaysia Kesembilan pada 22 Ogos 2021. Sesungguhnya kebijaksanaan Perdana Menteri memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia adalah bertepatan pada waktunya ke arah mengukuhkan lagi kesepaduan dan keharmonian kaum dalam usaha membawa keluar negara daripada penularan pandemik COVID-19 sekali gus untuk memperkukuhkan Keluarga Malaysia dalam menghadapi cabaran mendatang pasca COVID-19.

Keluarga Malaysia turut menekankan kepada agenda kebersamaan dalam usaha memulihkan semula aktiviti ekonomi dan mobilisasi sosial di mana Kerajaan memulakan pendekatan luar biasa melangkaui ideologi sosiopolitik bersama blok pembangkang untuk bersama-sama memastikan peranan dan gerak kerja masing-masing adalah seiring dengan aspirasi pembangunan semula negara dan kemaslahatan rakyat selari menyokong agenda Keluarga Malaysia.

Konsep tersebut jelas diakui bersifat lebih inklusif merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum malahan nilai-nilai ini juga adalah cerminan yang cukup sempurna sebagai sebuah keluarga yang mana setiap dari ahlinya mempunyai semangat dan cita-cita untuk saling lengkap-melengkapi, bertoleransi dan hormat-menghormati.

Justeru, sebagai sebuah keluarga besar, setiap warga Malaysia dituntut untuk memainkan peranan masing-masing untuk menggerakkan institusi kekeluargaan sama ada dari peringkat mikro atau makro yang mana semua suara adalah didengari, setiap tindakan adalah dihargai malah setiap sumbangan dan buah fikiran yang diberikan adalah disyukuri. Justeru, konsep Keluarga Malaysia yang berpaksi kepada prinsip dan nilai terkandung dalam Rukun Negara ini bakal membuktikan ianya menjadi kunci kepada kesepaduan dan keharmonian kaum di Malaysia.

Hakikatnya, Rukun Negara yang terbahagi kepada dua bahagian ini telah menggariskan dengan jelas objektif yang ingin dicapai yang terbit daripada penggubalan rukun itu sendiri. Bahagian pertama menggariskan matlamat untuk mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh warga Malaysia; memelihara suatu bentuk kehidupan berdemokratik; mencipta satu masyarakat yang bersatu dan bersekutu, di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama; membentuk satu sikap yang liberal dan pragmatik terhadap tradisi kesenian dan kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai warna; dan membina sebuah masyarakat progresif yang menggarap sains dan teknologi.

Dalam bahagian kedua pula, Rukun Negara menggariskan lima (5) Prinsip Rukun Negara yang juga turut menjadi teras kepada konsep Keluarga Malaysia.

Kepercayaan kepada Tuhan

Malaysia adalah sebuah negara yang unik dan menarik kerana walaupun terdapat kepelbagaian dari segi bangsa, bahasa dan agama, namun warga Malaysia tegar mencari dan mencapai satu titik persamaan hasil dari permuafakatan Rukun Negara. Walaupun semua rakyat bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing, namun kepercayaan tersebut masih berpaksi kepada nilai positif yang ada di dalam setiap agama masing-masing khususnya tetap mementingkan perdamaian, keharmonian dan hormat-menghormati.

Sebagai contoh Perlembagaan Persekutuan telah dinyatakan dengan jelas bahawa biarpun Islam itu adalah agama rasmi Persekutuan di bawah Perkara 3 (1), namun penganut agama lain bebas untuk mengamalkan anutan agama masing-masing yang difahami melalui Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan.

Aspirasi dan frasa inilah yang membina Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan terus kekal di dalam rahmat-Nya kerana agama itu tetap menjadi kompas terpusat dalam memandu urus kehidupan rakyatnya.

Maka untuk merealisasikan Keluarga Malaysia dan perkaitannya dengan prinsip pertama Rukun Negara, kita boleh mengambil nilai dan makna keimanan dan amanah yang ada dalam setiap agama yang dianuti oleh warga Malaysia. Kebersamaan nilai dan makna inilah yang boleh mengikat hati dan nurani kita semua dalam membentuk kesepaduan dan keharmonian kaum yang bersifat nasional demi kepentingan dan tanggungjawab bersama.

Kesetiaan kepada Raja dan Negara

Dari segi pentadbiran negara, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan. Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bertanggungjawab sebagi Ketua Negara manakala di peringkat negeri, Sultan dan Yang di-Pertua Negeri sebagai lambang perpaduan rakyat.

Setia kepada Raja dan Negara amat tuntas kerana ia merupakan benteng kepada kedaulatan sesebuah negara, Institusi Raja di Malaysia pula adalah satu institusi tradisional yang menjadi teras sistem pemerintahan Kerajaan Melayu walaupun berlaku evolusi Institusi Raja yang mengubah sistem Beraja Mutlak yang diamalkan sejak dari abad ke-15 kepada sistem Raja Berperlembagaan selari dengan perubahan dan keperluan zaman. Hari ini, Institusi Raja diterima umum sebagai simbol perpaduan antara kaum dan agama. Menerusi perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, kedudukan orang-orang Melayu jelas terpelihara tanpa mengabaikan kedudukan dan kepentingan bangsa-bangsa lain. Ini bermaksud, Raja bukan hanya Raja kepada sesuatu bangsa tetapi ia adalah payung kedaulatan negara yang menaungi setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Bagi prinsip kedua dalam Rukun Negara ini juga, warga Malaysia adalah dituntut untuk mencintai dan menyayangi negara atau dalam erti kata lain mempunyai semangat patriotisme. Nilai dan makna yang dibawa bersama dalam prinsip ini untuk dijadikan asas pembentukan Keluarga Malaysia ialah keadilan, melindungi, keamanan dan juga kesejahteraan yang sememangnya disemai dalam setiap institusi kekeluargaan di Malaysia.

Keluhuran Perlembagaan

Mengikut konteks Keluhuran Perlembagaan, setiap warga Malaysia hendaklah menerima Perlembagaan sebagai sumber undang-undang tertinggi negara. Setiap individu mesti mematuhi keluhurannya yang meliputi aspek-aspek perundangan, pentadbiran, kedudukan mahupun hak sosioekonomi rakyat. Nilai dan makna yang dibawa adalah kebijaksanaan, ketelusan, keharmonian yang sememangnya diterapkan dalam pelaksanaan prinsip ketiga Rukun Negara ini. Penggubalan Perlembagaan mestilah berasaskan kepada kesepakatan semua kaum dan komuniti. Setiap daripada warga Malaysia diberikan hak sewajarnya dan tidak ada mana-mana insan yang terpinggir dan tersisih. Adalah menjadi kewajipan untuk semua warga Malaysia untuk saling hormat-menghormati serta memahami sejarah penggubalan Perlembagaan Negara supaya tidak ada isu lagi yang boleh disensasikan terutamanya oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba menangguk di air keruh dengan tindakan subversif yang mencemarkan perpaduan di negara ini.

Kedaulatan Undang-undang

Kedaulatan undang-undang membawa erti bahawa setiap insan mahupun institusi wajib untuk menghormati setiap undang-undang yang dikuatkuasakan secara sah melalui demokrasi berparlimen. Dalam prinsip ini, Keluarga Malaysia menuntut agar setiap insan menerapkan nilai keadilan dan bermaruah di dalam memelihara kesepaduan dan keharmonian keluarga besar Malaysia.

Kemungkinan ada segelintir pihak yang mempersoalkan undang-undang sebagai hukuman kepada warga Malaysia namun apabila ditelusuri mengikut konteks bermasyarakat (jemaah), ia adalah sebuah tali yang mengikat setiap dari kita daripada melakukan kesalahan yang bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri malah kepada seluruh warga Malaysia yang lain.

Konsep ini terbukti berkesan apabila Kerajaan melaksanakan Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik COVID-19. Sebagai seorang warga Malaysia, jika kita melanggar undang-undang yang diwujudkan, kesan negatif pasti melibatkan warga Malaysia yang lain apabila tindakan kita itu mungkin penyebab kepada penyebaran virus.

Justeru, aspek-aspek sebeginilah yang amat dititikberatkan dalam elemen kedaulatan undang-undang supaya tidak ada mana-mana insan yang terkecuali daripada mematuhi undang-undang.

Kesopanan dan Kesusilaan

Teras kelima prinsip ini memberi penekanan terhadap nilai dan makna kemanusiaan supaya setiap warga Malaysia boleh menerima perbezaan masing-masing bagi memastikan kesepaduan dan keharmonian kekal terpelihara. Nilai keprihatinan, berkasih sayang, tolong -menolong dan saling lindung-melindungi adalah aspek-aspek terpenting di dalam penerapan Keluarga Malaysia.

Mengambil berat aspek-aspek ini, komuniti media massa misalnya demi menjaga dan memelihara sensitiviti, telah mengambil langkah proaktif dengan mengamalkan eufemisme atau bahasa halus yang sememangnya menjadi budaya dalam masyarakat dalam penyampaian setiap laporan bagi memastikan tiada mana-mana pihak yang tersinggung dengan pelaporan yang disediakan.

Usaha ini jelas menunjukkan teras kelima Rukun Negara ini masih tetap dijayakan melalui Keluarga Malaysia. Namun usaha ini yang tidak seharusnya disandarkan kepada beberapa komuniti semata-mata kerana menjaga kesopanan dan kesusilaan itu adalah merupakan tanggungjawab kita semua.

Penutup

Kesimpulannya, dengan mengadaptasi Rukun Negara, maka Kerajaan berusaha sedaya upaya untuk mengharungi detik sukar yang tercetus ekoran penularan pandemik COVID-19 ini dengan menyatukan semua rakyat melalui kesepaduan dan keharmonian selain berusaha memastikan setiap warga Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing serta mengekalkan institusi kekeluargaan melangkaui sempadan agama dan bangsa yang telah wujud sekian lama.

Kebersamaan kita untuk memahami aspirasi ini dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian adalah sangat-sangat dituntut agar aspirasi yang diinginkan ini dapat direalisasikan secara lebih sempurna dan mantap. Benarlah, imaginasi tanpa realisasi hanyalah halusinasi.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama melaksanakan peranan masing-masing sebagai sebuah Keluarga Malaysia melalui saluran dan kaedah komuniti masing-masing untuk memastikan kita berjaya menang di kemudian hari dan warga Malaysia hidup bersepadu dengan berharmoni selamanya di bawah Keluarga Malaysia.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAKenyataan MediaPolitik @ My LNAUTAMA

Rakyat Menuntut #Reformasi100Peratus Sekarang, Kerajaan Jangan Berdalih Lagi – BERSIH

Oleh : Jawatankuasa Pemandu Bersih Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)...

Adam Michael Nettina Photo: Department of Justice
Kenyataan Media

Deranged right-winger threatened to slaughter LGBTQ+ activists. He’s going away for a long time.

You need to be logged in to view this content. Please Log...

Kenyataan Media

Bill O’Reilly is outraged that the book ban law he supports caused his own books to be banned

You need to be logged in to view this content. Please Log...

Photo: YouTube screenshot
Kenyataan Media

Conservative Christians freak out over cute ad featuring a lesbian couple

You need to be logged in to view this content. Please Log...