HIGHLIGHTS Sains, Teknologi & Komunikasi

KKMM yakin matlamat RMKe-12 ini akan direalisasikan dengan usaha sama semua pihak

28 September 2021 – Selari dengan objektif RMKe-12, ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif dan Mampan’ yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September di dalam pemerkasaan (empowerment) Keluarga Malaysia ke arah mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) komited di bawah RMKe-12 untuk memberi tumpuan bagi mempertingkat ketersambungan digital dan memperhebat ekonomi digital serta memberi nilai tambah dan manfaat kepada Keluarga Malaysia.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berekata antara strategi pemerkasaan adalah mewujudkan persekitaran yang menyokong kepada pertumbuhan ekonomi digital seperti penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan digital, membangunkan bakat digital masa hadapan, memperluas pendigitalan dan menjadikan Malaysia sebagai Pusat Digital ASEAN.

“KKMM mengetuai Kluster Infrastruktur Digital dan Data, iaitu salah satu daripada enam (6) Kluster yang dibentuk di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Dasar 4IR Negara bagi mempercepatkan ekosistem pembangunan ekonomi digital dan 4IR negara.

Kementerian juga akan sentiasa memantau dan memastikan pelaksanaan inisiatif-inisiatif pendigitalan yang dinyatakan di bawah Kluster Infrastruktur Digital dan Data ini dilaksanakan mengikut fasa yang ditetapkan sehingga 2025 atau dipercepatkan lagi daripada sasaran ditetapkan, serta bekerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan kerana inisiatif-inisiatif pendigitalan ini merentas Kementerian dan agensi lain.” kata Annuar Musa.

Katanya lagi, beliau juga telah berjumpa dengan pelbagai pemegang taruh di dalam industri telekomunikasi termasuk daripada pihak swasta untuk memastikan inisiatif pendigitalan di bawah RMKe-12 menggunakan satu pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation approach). Katanya menerusi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA, sebanyak 94 peratus kawasan berpenduduk telah mendapat liputan 4G sehingga bulan Ogos 2021, manakala rangkaian teknologi 5G akan dilancarkan pada penghujung tahun ini.

“Selari dengan pencapaian ini, JENDELA menyasarkan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang tahun 2025.

Kesemua inisiatif pendigitalan ini menyokong kepada sasaran 25.5 peratus sumbangan ekonomi digital kepada KDNK pada tahun 2025.

Pada masa yang sama, bagi memastikan peluang ekonomi digital rakyat diperluaskan hingga ke peringkat akar umbi, pembangunan ekonomi digital akan dibangunkan bersama di pelbagai titik sentuh seperti Pusat Internet Komuniti yang akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia seluruh negara.” ujar Annuar Musa.

Selain itu Annuar Musa berkata KKMM juga akan menumpukan kepada usaha mengukuhkan ekosistem industri kreatif sebagai salah satu industri strategik dan berimpak tinggi yang mempunyai potensi besar dalam menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Industri kreatif menyasarkan sumbangan kepada KDNK sebanyak RM31.9 bilion menjelang tahun 2025.

Saya yakin matlamat RMKe-12 ini akan dapat direalisasikan dengan usaha sama semua pihak dan Insya-Allah Keluarga Malaysia akan terus cekal mendepani cabaran serta mampu melakar kecemerlangan untuk masa hadapan negara.” ujarnya.