HIGHLIGHTS Parlimen

Sesi Libat Urus, MITI Mahu Ekonomi Negara Kekal Berdaya Saing

22 September 2021- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengadakan libat urus dengan persatuan-persatuan industri dan dewan-dewan perniagaan tempatan dan antarabangsa untuk mendapatkan pandangan dan memberikan penjelasan mengenai prosedur operasi standard (SOP) sektor pembuatan.

Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata usaha ini adalah untuk menjamin ekonomi negara kekal berdaya saing dan memastikan rantaian bekalan tidak terencat dan pelaburan tidak terjejas.

“Untuk memastikan kelangsungan operasi perkhidmatan perlu termasuk sektor-sektor yang kritikal seperti elektrikal & elektronik (E&E), peranti perubatan, farmaseutikal serta makanan dan minuman, Kerajaan telah mengambil maklum penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan langkah-langkah yang bertanggungjawab.

“Sebagai langkah tambahan, saringan COVID- 19 setiap dua minggu turut diwajibkan selaras dengan hasrat Kerajaan dalam mencapai piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya dalam sidang Parlimen hari ini.

Ujarnya, penularan pandemik COVID-19 yang merupakan satu krisis kesihatan awam global dengan izin, unprecedented, telah memberikan impak ke atas kehidupan masyarakat dunia sejagat yang membawa kepada norma baharu.

“Amalan bekerja dari rumah telah meningkatkan permintaan untuk peralatan elektronik seperti telefon pintar dan komputer yang mendorong kenaikan permintaan cip elektronik.

“Seperti yang dibangkitkan di dalam artikel Wall Street Journal, yang memetik kenyataan Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia bahawa walaupun operasi pembuatan berjalan seratus peratus kapasiti, bekalan masih tidak cukup untuk memenuhi permintaan,” katanya menjawab soalan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.