Ekonomi HIGHLIGHTS Parlimen z10

Promosi Industri Kenderaan Elektrik, Tarik Pelaburan Ekosistem

22 September 2021 – Bagi mempertingkatkan pelaburan dan permintaan dalam industri kenderaan elektrik (EV), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang mengenalpasti strategi baharu bagi mempromosikan industri EV di Malaysia kepada para pelabur.

Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata ianya termasuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dalam dialog Belanjawan 2022 mengenai satu dasar yang merangkumi pakej insentif yang turut memberi fokus kepada pengguna (demand side) bagi menarik pelaburan ekosistem EV selain daripada mengukuhkan insentif sedia ada untuk pengeluar kenderaan dan komponen EV.

“Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 memberi keutamaan kepada pembangunan industri pengeluaran kenderaan Energy Efficient Vehicle (EEV) termasuk EV dengan menggariskan beberapa inisiatif khusus bagi memperkukuhkan ekosistem EV.

“EV diramalkan akan menggantikan kenderaan berasaskan penggunaan tenaga fosil selaras dengan United Nations Sustainable Development Goals (UNSDG) bagi memelihara alam sekitar dan mengurangkan pelepasan karbon.

“Perkembangan ini adalah seiring dengan dasar Kerajaan untuk mengurangkan pelepasan karbon oleh sektor pengangkutan yang menyumbang sebanyak 20 peratus pelepasan karbon dalam negara berdasarkan laporan Malaysia Third National Communication and Second Biennial Report to UNFCCC,” katanya menjawab persoalan daripada Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di sidang Parlimen hari ini.

Ujarnya, langkah ini dijangka dapat menggalakkan pelaburan daripada segi pengeluaran EV atau komponennya, sokongan infrastruktur termasuk stesen pengecas EV serta meningkatkan permintaan pengguna terhadap
penggunaan kenderaan EV.