10 September – Malaysia hari ini merekodkan peningkatan kes bunuh diri sebanyak 143% atau 1.4 kali lebih banyak dalam tempoh Januari sehingga Jun tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Norhisham Abdullah berkata, berdasarkan rekod PDRM, sejumlah 638 kes bunuh diri telah dilaporkan tahun ini berbanding 262 kes pada tahun lepas.
Peningkatan ini adalah disebabkan oleh faktor sosial yang menyebabkan stres yang terlampau antaranya hilang pekerjaan atau sumber pendapatan.
“Selain itu isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai juga boleh memberi kesan kepada sesetengah individu yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan”, ujar beliau dalam kenyataan media hari ini.
Beliau menambah situasi pandemik COVID-19 di seluruh dunia memberikan impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu dan masyarakat termasuk di Malaysia.
“Bunuh diri berada di antara 10 penyebab utama kematian di dunia, dan penyebab ke-4 kematian bagi mereka yang berumur daripada 15 hingga 29 tahun.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan di seluruh dunia terdapat lebih daripada 703,000 kes kematian membunuh diri setiap tahun, dengan purata 1 kejadian bunuh diri setiap 40 saat.
Beliau berkata tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri (suicidal ideation), rancangan bunuh diri (suicidal plan), cubaan bunuh diri (suicide attempt) dan kematian akibat tindakan bunuh diri.
Untuk rekod, 10 September telah diistiharkan sebagai Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia. Pada tahun ini, Malaysia telah merangka tema “ Bertindak Segera, Harapan Terbina” bertujuan untuk meningkatkan keyakinan masyarakat bagi memainkan peranan penting dalam mencegah insiden bunuh diri dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri.
“Selaras dengan ‘Konsep Keluarga Malaysia’, peranan masyarakat secara bersama bagi mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan dan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan orang-orang yang disayangi terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19”, ujar Norhisham lagi.
Beberapa inisiatif telah dilaksanakan oleh KKM meliputi pengukuhan pelaksanaan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psikososial. Menerusi inisiatif ini, talian bantuan sokongan psikososial telah diwujudkan oleh KKM dengan kerjasama NGO.
Selian itu, KKM juga sedang dalam tindakan terhadap usaha dekriminalisasi cubaan bunuh diri di mana usaha bagi pindaan atau pemansuhan Seksyen 309 di bawah Kanun Keseksaan yang menyabitkan cubaan bunuh diri sebagai satu kesalahan jenayah.
“Pelaksanaan dekriminalisasi cubaan bunuh diri akan menjadi anjakan dalam usaha pencegahan bunuh diri di Malaysia. Ini akan menggalakkan mereka yang terkesan untuk tampil dan mendapatkan bantuan seawal mungkin”, ujar beliau lagi.
Tambahnya, inisiatif lain adalah meliputi advokasi Kempen Let’s Talk Minda Sihat dan latihan berterusan kepada anggota respon barisan hadapan seperti bomba, anggota polis dan anggota kesihatan bagi meningkatkan kemahiran dalam pengendalian tingkah laku bunuh diri dan mempergiatkan sesi libat urus dengan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
“Masyarakat boleh memainkan peranan dan mencegah tingkah laku bunuh diri menerusi tindakan mengambil tahu dan bertanya khabar anggota keluarga dan memberikan sokongan dan dorongan.
“Selain itu, pentingnya mengelakkan penularan sebarang berita, video atau gambar berkaitan kejadian bunuh diri di media sosial, selain membuang stigma negatif terhadap keluarga dan individu dengan penyakit mental dan mengekalkan hubungan dan memberikan sokongan sosial.
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment