HIGHLIGHTS Sains, Teknologi & Komunikasi

AR Dan XR Hasilkan Keunikan Sambutan Hari Kebangsaan 2021

26 Ogos 2021 – Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM) akan mengorak langkah dalam memastikan Sambutan Hari Kebangsaan 2021 mempunyai keunikan tersendiri selaras dengan sambutan yang diadakan dalam norma baharu.

Ketua Setiausaha KKKM, Dato’ Sri Mohamad Mantek berkata, bagi tujuan tersebut, Jabatan Penyiaran Malaysia selaku agensi di bawah KKMM telah membuat persiapan rapi untuk sambutan tersebut.

Beliau berkata pengisian program secara hibrid iaitu di studio RTM yang akan menggabungkan elemen teknologi terkini berkonsepkan Mix Reality iaitu gabungan penerbitan secara fizikal, teknologi AR (Augmented Reality) dan juga XR (Extended Reality) berbentuk interaktif dan berteknologi tinggi.

“Penggunaan teknologi XR bukan sahaja tertumpu untuk menonjolkan aset-aset negara yang akan ditayangkan pada sambutan 31 Ogos ini, tetapi lebih kepada segmen yang membawa kesedaran dan kepentingan masa hadapan seperti kesihatan dan pendidikan”, ujar beliau ketika di wawancara dalam rancangan Bicara Naratif terbitan RTM.

Beliau menambah, garapan segmen XR dan fizikal dalam sambutan kali ini bakal menunjukkan pengorbanan demi negara dalam pelbagai 22 peranan masyarakat khususnya frontliners yang berjuang melawan pandemik COVID-19.

Sambutan pada tahun ini bertemakan Malaysia Prihatin selaras dengan aspirasi dan keprihatinan kerajaan dan rakyat dalam bersama-sama mendepani penularan wabak Covid-19.

Dataran Pahlawan Putrajaya menjadi lokasi penting acara sambutan tersebut dengan pematuhan ketat kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mohamad juga turut memaklumkan pihaknya telah mewujudkan gelembung khusus (safety bubble) untuk petugas dan mereka yang terlibat dalam persembahan sepanjang sambutan bagi memastikan tiada jangkitan dikalangan mereka yang terlibat dalam sambutan pada tahun ini.