HIGHLIGHTS Pelancongan

Iklan Umrah Atau Ziarah, MOTAC Beri Kebenaran

20 Ogos 2021- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memberi kebenaran kepada semua syarikat pengendali umrah berlesen untuk memulakan aktiviti promosi dengan memohon kelulusan iklan pakej umrah atau ziarah di bawah fasa interim.

Menerusi satu kenyatan media hari ini, kelonggaran ini diberi untuk membolehkan penggiat industri menilai serta bersedia dengan bilangan jemaah umrah yang berminat mengerjakan ibadah umrah pada masa terdekat.

“Parameter yang ditetapkan Kementerian bagi kelulusan fasa interim antara lainnya adalah membenarkan aktiviti promosi tanpa bayaran dan tidak mengikat mana-mana pihak sehinggalah Kerajaan mengumumkan tarikh pembukaan sempadan ke luar negara dan proses-proses perjalanan pelaksanaan ibadah umrah dibenarkan semula bagi rakyat Malaysia.

“Kementerian berpandangan bahawa kutipan apa juga bentuk bayaran untuk perkhidmatan pakej umrah atau ziarah pada masa ini adalah tidak wajar kerana wujud ketidaktentuan penyampaian khususnya tempoh perjalanan dan perkhidmatan sebenar yang akan diterima oleh jemaah.

“Kementerian juga dalam proses untuk menyediakan garis panduan khusus bagi mengawalselia iklan dan pakej-pakej umrah yang akan ditawarkan kepada orang awam di masa akan datang adalah perkhidmatan-perkhidmatan yang melindungi kepentingan awam dan mematuhi kehendak Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482]. Ini bagi memastikan promosi-promosi oleh pihak syarikat kepada jemaah tidak berunsurkan penipuan dan memperdaya orang ramai,” katanya.

Ujarnya, MOTAC menyeru semua pihak menghentikan cubaan memanipulasi pasaran khususnya melibatkan harga perkhidmatan pakej umrah atau ziarah.

“Pihak Kementerian juga ingin terus menasihati orang awam agar berwaspada dengan tawaran-tawaran pakej umrah yang meragukan pada masa ini dan menyemak kesahihan perkara ini dengan pihak MOTAC.

Proses permohonan ini boleh dibuat ke emel umrah@motac.gov.my berdasarkan syarat-syarat dan paramater yang ditetapkan oleh Kementerian dan Orang awam juga boleh menyemak iklan-iklan pakej umrah yang diluluskan oleh Kementerian di laman web rasmi Kementerian di www.motac.gov.my.