Ekonomi HIGHLIGHTS

RM 3.8b Peruntukan Untuk Pendigitalan Kerajaan – KSN

19 Ogos 2021 – Kerajaan hari ini menganjurkan Persidangan Digital Sektor Awam 2021 (PDiSA 2021) dalam usaha untuk mentransformasikan perkhidmatan kerajaan ke arah digital dan secara dalam talian menjelang tahun 2025.

Persidangan teknologi digital ini yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali merupakan sebuah platform yang menghimpunkan hampir 1,000 peserta secara maya sepenuhnya yang terdiri daripada Ketua Pegawai Maklumat (CIO), pengurus-pengurus ICT daripada setiap agensi kerajaan dan rakan strategik PDiSA 2021.

Zuki dalam ucapan perasmian turut memaklumkan kerajaan telah memperuntukan sejumlah RM 3.8b untuk 128 projek meliputi pembangunan sistem, infrastruktur dan perisian keselamatan siber, latihan kompetensi kerajaan digital serta menaik taraf kelengkapan ICT di institusi latihan.

Ujarnya, bagi tahun 2021, sejumlah RM 538.7 juta diperuntukkan bagi tujuan tersebut.

“Persidangan yang diadakan ini menunjukkan kesungguhan Kerajaan dalam menyediakan akses yang lebih baik kepada pengguna yakni rakyat selaras dengan trend semasa pendigitalan perkhidmatan awam.

Beliau menambah, penganjuran ini juga bagi mendukung aspirasi sepertimana terkandung dalam MyDIGITAL atau Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia. 

Persidangan yang bertemakan “Norma Baharu Pendigitalan: Memperkasakan Perkhidmatan Berpaksikan Rakyat”, agensi kerajaan perlu melaksanakan transformasi ke arah kerajaan digital bagi menepati ekspektasi rakyat masa kini.

“Ini akan dapat dicapai dengan memanfaatkan teknologi, data dan kecerdasan digital, meningkatkan set kemahiran digital dalam kalangan penjawat awam dan juga meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam talian, ujar Zuki lagi.

Beliau menambah, sektor awam selaku penggerak kepada pembangunan negara perlu sentiasa bersedia menjadikan pendigitalan sebagai kaedah terbaik dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat kerana pendigitalan adalah keperluan kepada agensi kerajaan dalam penawaran perkhidmatan.

“Dalam Rangka Kerja MyDIGITAL, kerajaan telah menetapkan sasaran 80% perkhidmatan kerajaan dalam talian daripada peringkat awal ke akhir menjelang tahun 2025.

“Sehingga Jun 2021, pencapaian perkhidmatan dalam talian yang dikenali sebagai end-to-end atau ringkasnya E2E bagi sektor awam ialah sebanyak 56.88%,” katanya lagi.

Penganjuran pameran maya bersempena persidangan ini turut disertai oleh industri tempatan seperti Awantec, Google Malaysia, TM, CISCO serta agensi-agensi awam seperti MAMPU, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Pameran maya ini turut yang memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai perjalanan revolusi digital di negara ini.

Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam (PSPSA) 2021-2025 turut dilancarkan bersempena persidangan ini.

Pelan ini telah menggariskan hala tuju strategik pelaksanaan digital sektor awam untuk tempoh lima (5) tahun sebagai panduan kepada agensi sektor awam.

Melalui Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam ini, tumpuan dapat diberikan secara lebih khusus kepada pengukuhan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan bagi mendaya upaya sistem penyampaian yang berimpak tinggi seiring dengan agenda pendigitalan kerajaan.