Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

Rakyat Digesa Kibar Jalur Gemilang – Mohammad

89

18 Ogos 2021 – Kerajaan hari ini mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mengibarkan Jalur Gemilang di premis dan kediaman masing-masing.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM), Dato’ Sri Mohammad Mentek berkata, bagi tujuan tersebut beliau berharap lebih ramai rakyat Malaysia terlibat secara langsung dengan melaksanakan perkara kecil seperti mengibarkan bendera di kediaman dan premis masing-masing dan menyertai sambutan secara digital yang dianjurkan oleh KKMM dan agensi di bawahnya.

Selain itu, beliau berharap agar pihak swasta turut sama menyumbang dan memasang Jalur Gemilang sebagai untuk memeriahkan lagi sambutan memandangkan hampir semua bangunan kerajaan sudah dipasang dengan bendera kebanggaan negara.

Mohammad berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM.

“Pada tahun ini, sambutan bulan kebangsaan yang diadakan setiap tahun bermula 1 Ogos sehingga 16 September 2021 bertemakan “Malaysia Prihatin” sebagai pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia turut bersama-sama dengan Kerajaan memerangi COVID-19.

Tema tersebut juga membawa pengertian kepada saling melengkapi dan kerjasama erat antara Kerajaan dan rakyat selain keprihatinan kerajaan dalam memastikan keseimbangan antara hidup dan kelangsungan hidup rakyat.

Mengulas mengenai persiapan sambutan, Mohammad menjelaskan persiapan sudah mencapai tahap 80% dengan pematuhan ketat kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sehingga kini juga, seramai 98% peratus petugas yang terlibat sudah melengkapkan 2 dos vaksin selain ujian calitan akan diadakan sebanyak 3 kali pada sesi latihan dan pada hari sambutan”, ujar beliau lagi. 

Pada tahun ini, Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini akan diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya manakala penutup iaitu Hari Malaysia akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 16 September ini.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member