Pelancongan @ My LNA

Fasa 2 : Aktiviti Pelancongan Dibenarkan, Pengusaha Homestay dan Hotel Perlu Tunjuk Sijil Digital Vaksinasi

75

9 Ogos 2021- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melihat pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat memberi manfaat kepada penggiat industri pelancongan yang berada dalam negeri-negeri yang telah beralih kepada Fasa 2 dan seterusnya di mana aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan adalah melibatkan homestay dan hotel bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

Jelas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, pengusaha homestay dan hotel perlu pastikan mereka yang ingin memasuki premis harus menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 (digital certificate COVID-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut telah menerima vaksinasi lengkap.

“Pembukaan sektor pelancongan domestik yang dibuat secara berperingkat mengikut fasa ini dapat memberikan sinar buat penggiat industri pelancongan selaras dengan Pelan Pemulihan Pelancongan yang telah digariskan oleh MOTAC.

“Kelonggaran yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat memberikan suntikan semangat kepada semua pihak yang terlibat bagi merancakkan semula sektor pelancongan, seni dan budaya di negara ini dan juga dapat meningkatkan keyakinan masyarakat yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk menyokong aktiviti pelancongan domestik,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, MOTAC juga yakin dan percaya bahawa pihak kerajaan akan sentiasa memikirkan kaedah dan cara yang terbaik bagi memulihkan keseluruhan aktiviti pelancongan termasuklah juga aktiviti keseniaan dan kebudayaan yang akan dipertimbangkan untuk dibuka secara berperingkat dengan persediaan rapi.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles