Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

14 Menara Tingkatkan Liputan Internet Di Julau

153

4 Ogos 2021– Kerajaan hari ini telah menyiapkan 12 menara komunikasi di bawah dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) di bawah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia di daerah Julau manakala 2 lagi menara dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada suku pertama 2022.

Menteri Komunikasi Multimedia Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata selain pembinaan menara komunikasi, kerja-kerja naik taraf rangkaian kepada 4G juga sedang dijalankan di 19 stesen pemancar di sekitar daerah Julau sehingga penghujung tahun ini.

“Projek Jalur Lebar Melalui Satelit (Wifi VSAT) akan turut dilaksanakan di 18 lokasi di sekitar daerah Julau. Projek ini dijangka mula dilaksanakan bermula September 2021 dan akan siap sepenuhnya pada Disember 2021”, ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin turut mengambil kesempatan merakamkan takziah kepada keluarga seorang remaja perempuan yang meninggal dunia pada 2 Ogos 2021 akibat dilanggar lari ketika sedang mencari liputan internet di Jalan Julau-Nanga Entabai, Sarikei, Sarawak.

“Di kawasan kejadian, sebuah menara baharu sedang dalam proses pembangunan oleh pihak Sarawak Multimedia Authority (SMA).

“Di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pula, sebanyak 22 menara baharu dijangka akan mula dibina di daerah Julau bermula pada akhir suku keempat 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir suku keempat 2022.

Beliau berkata kementeriannya menerusi MCMC sedang bekerja rapat dengan kerajaan Sarawak untuk memastikan isu liputan internet di kawasan berkenaan ditangani dengan secepat mungkin.

“Pelaksanaan pelbagai inisiatif ini diharapkan akan dapat membantu para penduduk di Julau untuk melaksanakan aktiviti harian dengan lebih lancar selain meningkatkan taraf hidup mereka dalam mengharungi era digital”, ujar beliau lagi.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member