Ekonomi @ My LNA

Purata gaji dan upah bulanan menurun 9.0 peratus pada tahun 2020

236
financial stock market graph illustration ,concept of business investment and stock future trading.

PUTRAJAYA 14 JULAI 2021 – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bahawa purata gaji dan upah bulanan menurun 9.0 peratus pada tahun 2020, penurunan kali pertama kali sejak direkodkan mulai 2010. Ia berdasarkan kepada Survei Gaji & Upah yang dijalankan oleh DOSM bagi mengukur gaji & upah bulanan yang diterima oleh pekerja sepenuh masa atau yang setaraf dalam kalangan warganegara Malaysia yang bekerja di sektor swasta dan awam berdasarkan pekerjaan utama mereka.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin di dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, sepanjang tahun 2020, pasaran buruh Malaysia mengalami momentum yang tidak menentu berikutan krisis kesihatan dan kesan ekonomi.

“Ini telah menyebabkan pekerja kehilangan pekerjaan serta pembatalan atau pembekuan pengambilan baharu dan seterusnya mengakibatkan penurunan dalam jumlah guna tenaga. Selain itu, pelaksanaan langkah-langkah pengekangan penularan COVID-19 yang ketat dalam negara juga telah mengehadkan waktu operasi perniagaan dan menyebabkan berlakunya pengurangan waktu bekerja. Justeru, nilai purata gaji & upah bulanan yang diterima oleh warganegara Malaysia pada 2020 menurun buat kali pertama sejak data siri masa ini dilaporkan mulai tahun 2010 iaitu dengan kadar negatif 9.0 peratus. Setelah dua tahun berturut-turut merekodkan purata melebihi RM3,000, purata gaji & upah bulanan menurun kepada RM2,933 pada 2020 (2019: RM3,224).

Mengikut aktiviti ekonomi, semua sektor merekodkan penurunan dalam nilai purata gaji & upah bulanan. Tiga sektor mencatatkkan penurunan dua digit iaitu sektor Pertanian (-20.0%), Perlombongan dan pengkuarian (-17.7%) dan Pembinaan (-10.4%) manakala sektor Perkhidmatan dan Pembuatan merekodkan pengurangan purata gaji & upah bulanan masing-masing sebanyak 9.4 peratus dan 2.8 peratus. Sementara itu, antara industri dalam sektor Perkhidmatan yang mempunyai bilangan penerima gaji & upah yang ramai adalah industri Perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal; dan Penginapan & aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman. Kedua-dua industri ini merekodkan penurunan dua digit dalam nilai purata gaji & upah bulanan masing-masing sebanyak negatif 14.9 peratus dan negatif 13.7 peratus.” kata Dr. Mohd Uzir.

Tambah beliau nilai purata gaji & upah bagi pekerja mahir adalah sebanyak RM4,619 (2019: RM5,072) di mana dalam kategori pekerjaan mahir ini, Pengurus menerima purata gaji & upah tertinggi iaitu sebanyak RM6,479 diikuti oleh Profesional (RM5,301) dan Juruteknik & profesional bersekutu (RM3,313).

“Walau bagaimanapun, nilai purata yang diterima oleh Pengurus mencatatkan penurunan terbesar berbanding tahun sebelumnya (2019: RM8,855). Sementara itu, nilai purata bagi pekerja separuh mahir adalah sebanyak RM2,007 (2019: 2,206). Dalam kategori ini, dapat dilihat bahawa purata gaji & upah yang diterima oleh pekerja sokongan Perkeranian adalah sebanyak RM2,370 sementara pekerjaan separuh mahir yang lain mencatatkan nilai purata lebih rendah daripada RM2,000 iaitu pekerja Perkhidmatan & jualan (RM1,926); Pekerja mahir Pertanian, perhutanan, penternakan dan perikanan (RM1,547); pekerja Kemahiran dan pekerja pertukangan yang berkaitan (RM1,891); dan Operator mesin dan loji dan pemasang (RM1,918). Bagi pekerja asas, mereka menerima purata gaji & upah bulanan sebanyak RM1,727 pada tahun 2020.

Mengulas mengenai kedudukan gaji & upah mengikut strata, Dr. Mohd Uzir berkata bahawa walaupun purata gaji & upah bulanan bagi kedua-dua strata bandar dan luar bandar menurun pada tahun 2020, nilai purata di bandar mencatatkan penurunan yang lebih besar iaitu sebanyak 9.3 peratus kepada RM3,089.

“Sementara itu, nilai purata di kawasan luar bandar berkurang dengan kadar 5.5 peratus kepada RM2,086. Mengikut negeri, purata gaji & upah bulanan tertinggi diterima oleh pekerja di W.P. Putrajaya (RM4,497). Negeri-negeri lain yang juga mencatatkan nilai purata melebihi paras nasional adalah W.P. Kuala Lumpur (RM3,823), Selangor (RM3,480), Negeri Sembilan (RM3,013) dan W.P. Labuan (RM2,942). Kesemua negeri merekodkan penurunan purata gaji & upah bulanan berbanding tahun 2019.

Satu lagi perspektif dalam menganalisis kedudukan gaji & upah bulanan adalah nilai penengah. Dalam konteks ini, nilai penengah gaji & upah bulanan mencatatkan penurunan dua digit sebanyak 15.6 peratus, setelah merekodkan pertumbuhan purata 5.6 peratus sejak sembilan tahun yang lalu. Nilai penengah yang bersamaan dengan RM2,062 menunjukkan sebahagian daripada pekerja menerima gaji & upah bulanan melebihi nilai ini manakala sebahagian lagi menerima amaun di bawah nilai penengah tersebut. Dari segi bilangan penerima pada 2020, ianya meningkat namun pada kadar yang lebih perlahan iaitu 2.1 peratus kepada 9.4 juta orang berbanding peningkatan 5.0 peratus yang direkodkan pada 2019 (9.2 juta orang).” katanya.

Tambah Ketua Perangkawan itu lagi, peristiwa yang tidak dijangka pada tahun 2020 telah mengurangkan nilai gaji & upah yang diterima oleh pekerja warganegara sepenuh masa di Malaysia.

“Senario ini juga turut dialami di peringkat global di mana International Labour Organization (ILO) melaporkan berdasarkan data awalan daripada organisasi statistik pelbagai negara yang menunjukkan trend penurunan dari segi nilai atau kadar pertumbuhan bagi purata gaji di dua pertiga negara di dunia termasuk Jepun, Republik Korea dan United Kingdom. Negara-negara yang melaksanakan langkah-langkah pengekalan pekerjaan didapati telah berupaya mengekalkan guna tenaga walaupun pada gaji & upah yang lebih rendah sekaligus meminimumkan bilangan individu yang hilang pekerjaan. Malaysia juga turut mengalami senario yang sama, di mana program subsidi upah dan pengekalan pekerjaan didapati telah dapat membantu mengurangkan impak kehilangan pekerjaan pada tahun 2020. Dalam hal ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melaporkan seramai 107,024 individu telah hilang pekerjaan manakala bilangan yang telah memperoleh pekerjaan pada 2020 adalah seramai 160,554 orang.

Melihat kepada situasi pada tahun 2021, cabaran masih berterusan memandangkan kes baharu harian COVID-19 terus meningkat menjelang akhir Mei. Walaupun pelbagai fasa PKP telah dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun ini bagi membendung penularan wabak tersebut, beberapa kelonggaran untuk aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi dengan pematuhan kepada SOP yang ketat. Inisiatif yang berterusan dilaksanakan ke arah pemulihan ekonomi disokong oleh pelbagai pakej rangsangan bagi memastikan kelangsungan perniagaan. Justeru, dengan keadaan ekonomi negara yang semakin baik, ianya membawa kepada pemulihan pasaran buruh dan seterusnya membantu meningkatkan semula gaji & upah yang diperoleh oleh pekerja”. jelas beliau.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAUTAMA

Tindakan puak Houthi di Yaman tidak beri impak besar kepada ekonomi Malaysia

Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku...

AMBM @ MY LNAEkonomi @ My LNAKewangan @ My LNAUTAMA

Pelabur tunjuk minat tinggi untuk fahami asas dan potensi ekonomi Malaysia

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah mengetuai delegasi...