Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

Kerajaan Terbuka Menerima Cadangan, Orang Ramai Perlu Kongsi Maklumat Sahih – Saifuddin

55

13 JULAI 2021:-Kerajaan bersikap terbuka dalam menerima cadangan serta maklum balas dan sentiasa bersedia untuk memperbaiki kelemahan agar dapat bersama-sama melakukan yang terbaik dalam menangani krisis kesihatan jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Dato Saifuddin Abdullah.

Menurut beliau, kaedah vaksinasi adalah jalan terbaik bagi melindungi nyawa serta membawa keluar daripada pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.

“Pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 sehingga kini telah mencapai prestasi yang memberangsangkan dengan sejumlah 11 juta suntikan telah berjaya diberi dan kita sedang menuju ke arah sasaran 80 peratus imuniti kelompok pada akhir tahun ini” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Namun terdapat sesetengah penganalisis luar negara yang memberi gambaran tidak tepat dalam membuat analisis dan perbandingan terhadap Malaysia berhubung program vaksinasi kerana tidak menggunakan fakta terkini.

“Misalnya, terdapat maklumat daripada sebuah vaccine tracker pada bulan April lalu yang mengunjurkan Malaysia mengambil tempoh masa 4.9 tahun untuk mencapai jumlah vaksinasi 75% populasi”.

“Jika tracker yang sama dibuka pada hari ini, tempoh 4.9 tahun itu telah berubah menjadi lima bulan. Unjuran lima bulan ini adalah berdasarkan 262 ribu dos sehari manakala jika berdasarkan 375 ribu dos sehari, jangkaan 75% vaksinasi boleh dicapai dalam tempoh tiga hingga empat bulan” katanya.

Tambah beliau, perkara ini telah menyebabkan penilaian terhadap kedudukan Malaysia ketika penerbitan itu adalah tidak baik dan analisis data secara selektif seperti ini tidak memberi gambaran realiti sebenarnya serta boleh menimbulkan ketidakpercayaan masyarakat.

“Walaupun kini pihak tersebut telah memperbetulkan maklumat itu, tetapi penyebaran maklumat yang tidak tepat telah pun berlaku,” ujarnya.

Menurut data Kementerian Kesihatan (KKM), kadar vaksinasi Malaysia bagi setiap 100 orang adalah lebih baik daripada sebilangan negara termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan dan United Kingdom.

“Semua pihak diharapkan terus saling bekerjasama dalam pelaksanaan vaksinasi Covid-19 negara dengan berkongsi maklumat yang sahih” katanya.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member