Politik @ My LNA

Tiga tindakan segera dituntut dari Timbalan Perdana Menteri – Hannah Yeoh

49

12 JULAI 2021 – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob a berhenti berpolitik dan fokus membantu rakyat dengan segera memperbetulkan beberapa percanggahan dalam SOP. Merujuk kepada hantaran di Facebook rasmi Ismail berbunyi “Saya dah tutup pintu depan tapi….”, Hannah berkata Ismail sepatutnya mendengar nasihatnya sendiri.

Justeru di dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kemajuan Masyarakat itu menggariskan tiga tindakan yang perlu diambil oleh Ismail dalam minggu pertama sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“(1) Buka semua kedai alat tulis: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mahukan rakyat bekerja dari rumah dan para pelajar menjalani pembelajaran dalam talian sedangkan semua kedai alat tulis diarahkan tutup. Buku tidak jatuh dari langit dan kertas tidak terbang melayang. SOP yang membingungkan ini menimbulkan kesulitan kepada mereka yang terpaksa begerak dari satu kedai ke kedai hanya untuk membuat salinan, mencetak atau membukukan dokumen. Terdapat pelajar mata pelajaran seni dan pelbagai mata pelajaran lain untuk kelas dalam talian. Bagaimanakah mereka boleh belajar dengan berkesan tanpa mempunyai peralatan yang mencukupi? Ibu bapa perlukan kedai alat tulis untuk melengkapkan anak-anak mereka supaya dapat terus belajar sepanjang lockdown ini. Atau adakah Kerajaan hanya mengharapkan anak-anak ini tidak melakukan apa-apa dan hanya menonton TV di rumah?

(2) Buka semua pasar pagi terbuka: Perlaksanaan lockdown bertujuan untuk menurunkan jumlah kes positif Covid harian. Kerajaan akan hanya dapat melakukannya jika SOP dilaksanakan berdasarkan sains seperti menggalakkan pengudaraan di kawasan yang lebih luas dan kurang sesak. Saya mahu membangkitkan kes di Pasar Pagi Taman Kok Doh di dalam kawasan Parlimen saya yang mempunyai ramai pelanggan golongan warga emas setiap pagi. Arahan penutupan perniagaan sepanjang lockdown memaksa mereka membeli di pasar raya besar yang terletak di dalam kawasan Parlimen yang lain dan menyebabkan kos perjalanan bertambah serta persekitaran yang kurang selamat kerana ianya adalah pasaraya yang tertutup. Di mana logiknya SOP ini sedangkan gerai di tepi jalan dibenarkan beroperasi semasa lockdown ini?

(3) Benarkan perkhidmatan kesihatan, kedai gunting rambut dan pusat kesihatan seperti kiropraktor, tukang gunting rambut, pendandan rambut atau mana-mana ahli terapi berlesen untuk beroperasi berdasarkan SOP yang sebelumnya dan mengambil langkah keselamatan yang lain. Malaysia telah melalui banyak siri lockdown sejak tahun 2020 tetapi saya dimaklumkan bahawa kiropraktor tidak boleh beroperasi kali ini sedangkan ahli fisioterapi dibenarkan. Mengapakah ahli fisioterapi dianggap tidak akan menyebarkan virus berbanding kiropraktor?” kata Hannah.

Tambah beliau, apa pun alasannya, Timbalan Perdana Menteri didapati gagal memperbetulkan percanggahan SOP yang dinyatakan di atas ketika beliau menjadi Menteri Kanan yang bertanggungjawab di MKN.

“Saya berharap kedudukan baharu ini dapat memberikan beliau kuasa dan inspirasi yang diperlukan untuk memastikan Kementerian yang berkaitan mempunyai lebih persefahaman.

Saya hanya senaraikan tiga sahaja. Ada banyak lagi. Ini adalah SOP yang tidak masuk akal yang telah memberi kesan kepada ribuan pekerja di Malaysia, para pelajar dan kanak-kanak. Rakyat Malaysia sudah tidak mampu lagi untuk duduk di rumah. Ramai yang telah kehabisan wang simpanan mereka dan tidak lagi mampu membayar sewa rumah atau bil utiliti.

Hanya Kerajaan zalim dan tidak bertanggungjawab sahaja yang akan menunggu dan tidak melakukan apa-apa sedangkan apa yang diperlukan hanyalah satu mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang baru dilantik untuk memberikan bantuan kepada rakyat. Buktikan yang anda berperanan Yang Amat Berhormat DPM dan jika tidak, pelantikan ini hanyalah wayang politik semata-mata.” kata Hannah.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAIsu Semasa @ My LNAPolitik @ My LNA

BERSIH mahu perbicaraan pengampunan Najib dibuat secara terbuka

KUALA LUMPUR, 18 April 2024 – Susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan...

BM @ MY LNAPolitik @ My LNAUTAMA

Cara pengamalan politik lama harus diubah – Tiong King Sing

SARAWAK, 13 April 2024 – Presiden Parti Demokratik Progresif, Dato’ Seri Tiong...

BM @ MY LNAPolitik @ My LNAUTAMA

Apa hala tuju UMNO Selangor?

Oleh : Tengku Zafrul Semasa Majlis Iftar Ramadhan & perasmian secara serentak...