SEMASA

Kerajaan perlu tingkatkan infrastruktur dan daya ketahanan kesihatan mental – Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (PH)

11 JULAI 2021 – Kerajaan Persekutuan digesa untuk memberi keutamaan kepada Kesihatan Mental di dalam sektor kesihatan awam. Kerajaan turut digesa untuk melaksanakan polisi yang perlu sebagai penyelesaian yang sistemik demi
untuk menyelamatkan rakyat Malaysia dari tekanan mental akibat daripada pandemik Covid-19.

Menurut Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, dilihat juga sebagai langkah yang boleh mengelakkan dari terjadinya krisis penyakit mental di negara ini.

“Dalam kenyataan rasmi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abdul Jalil Hassan, pada 1hb Julai 2021, pihak polis telah merekodkan 468 kes bunuh diri di Malaysia dalam jangkamasa lima bulan pertama pada tahun ini, menunjukkan peningkatan yang signifikan jika dilihat pada jumlah tahunan sebanyak 631 kes pada tahun 2020 dan 609 kes pada tahun 2019. Ini bermakna, sehingga Mei tahun ini, terdapat purata tiga kematian sehari dari kes membunuh diri – semuanya disebabkan oleh ekonomi yang meruncing dan langkah ‘lockdown’ diambil kerana lonjakan kes-kes epidemik Covid 19. Jumlah ini adalah hampir dua kali ganda dari paras 1.7 pada tahun lepas dan tahun 2019.

Dalam sebuah kajian yang melibatkan seramai 1,163 responden oleh Universiti Malaya bertajuk “Escalating progression of mental health disorders during the COVID-19 pandemic” ia menunjukkan penambahan yang konsisten dalam kelaziman simptom-simptom kemurungan, kegelisahan dan tekanan perasaan pada masa empat Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) yang berbeza. Paras tertinggi simptom kemurungan dan kegelisahan direkodkan pada 59.2 peratus dan 55.1 peratus masing-masing, di antara bulan Ogos dan September 2020.

Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) merekodkan lebih daripada dua kali ganda pesakit yang memerlukan rawatan berkaitan tekanan perasaan sepanjang tahun 2020 dibandingkan pada tahun 2019.” kata Jawatankuasa Kesihatan PH.

Justeru kerajaan disedak suapaya melaksanakan polisi-polisi yang perlu dan segera menggubal undang-undang berikut :

(1) Dekriminalisasi percubaan membunuh diri

Seksyen 309, Kanun Keseksaan, yang menggariskan percubaan membunuh diri sebagai suatu jenayah harus segera dimansuhkan. Begitu juga hukuman keatas mangsa yang terselamat dari percubaan membunuh diri, haruslah digugurkan. Satu moratorium segera perlu diadakan daripada menghukum mangsa yang terselamat dari percubaan membunuh diri ini, sehinggalah undang-undang digubal.

Ini adalah penting dalam memastikan mangsa yang terselamat ini diberi rawatan dan sokongan yang sesuai dan tidak dilayan sebagai penjenayah. Ini membolehkan lebih ramai yang akan tampil untuk menerima rawatan serta stigma yang dikaitkan dengan kesihatan mental akan dilihat secara yang lebih holistik.

(2) Menambahkan sumber dan mengembangkan sistem kesihatan mental sedia ada supaya menjadikannya lebih berdaya tahan dalam mengurus krisis ini.

Akses yang lebih mudah kepada penjagaan kesihatan mental, melalui pengurangan birokrasi adalah penting. Ini termasuk penggunaan servis tele-kesihatan secara menyeluruh untuk perkhidmatan kaunseling, terapi psikologi, pengurusan perubatan dan intervensi vokasional mestilah diperkembangkan. MENTARI dan servis-servis komuniti yang lain harus diberi lebih ruang untuk menambah jangkauan dan terlibat dengan integrasi semula mereka-mereka yang bermasalah dengan kesihatan mental.

Lebih ramai pakar psikiatri, pakar psikologi klinikal dan kaunselor terlatih dari sektor swasta dan awam digembeling dalam membantu dan mencari pendekatan paling ampuh bagi memperbaiki kesihatan mental negara, termasuk meningkatkan kemahiran mereka di dalam Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) supaya mereka juga boleh membantu barisan hadapan yang lelah akibat memerangi pandemik Covid-19 yang berpanjangan.

Mereka juga seharusnya diperkasakan agar dapat melatih lebih ramai orang awam mengenai perkara asas Bantuan Kecemasan Kesihatan Mental. Dengan cara ini anggota masyarakat boleh menjadi “mata dan telinga” dalam membendung kejadian-kejadian yang tidak diingini dalam komuniti mereka.

(3) Pihak Kerajaan juga harus melihat kepada perkara utama permasalahan ini, dengan memberi perhatian kepada teras ekonomi termasuk mengukuhkan sistem keselamatan sosial dan sistem sokongan penggajian.

Langkah-langkah yang menyeluruh, bersasar serta fleksibel dan dapat menyokong golongan yang rentan seperti mereka yang berada di bidang ekonomi sekunder dan di kawasan-kawasan yang terjejas teruk oleh pandemik ini, harus lah dilaksanakan dengan kadar yang segera.

Bantuan kewangan termasuk Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dibawah PEMULIH mestilah diagihkan segera tanpa menunggu sehingga Ogos untuk menangani keperluan ekonomi rakyat yang terdesak. Walaubagaimanapun, sebuah pelan jangkamasa panjang pula harus dirangka untuk memaksimumkan impak rangsangan ekonomi .

“Kami sekali lagi mengulangi betapa pentingnya mengurangkan kesan kesihatan mental akibat Covid-19 yang kesnya dilihat kian mencanak dalam bulan-bulan mutakhir ini. Aspek kesihatan mental tidak seharusnya dikesampingkan dalam musim pandemik , krisis yang tidak kelihatan ini, bukan hanya akan memburukkan lagi kesan fizikal Covid 19, tetapi boleh menjadi malapetaka terhadap kesejahteraan negara dan unjuran produktiviti jangkamasa panjang.” kata Jawatankuasa Kesihatan Pakatan Harapan (PH).