Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

JENDELA Berjaya Capai Sasaran Pelaksanaannya – Saifuddin

110

8 JULAI: Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) berjaya mencapai kesemua sasaran pelaksanaannya selepas memasuki bulan kesepuluh pelaksanaannya jelas Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Dato Saifuddin Abdullah.

JENDELA telah membawa aspirasi peningkatan liputan dan pengukuhan infrastruktur kesalinghubungan internet negara yang mampan dan inklusif. Laporan penuh Suku Tahun JENDELA sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan kepada pihak media dan penganalisis pada 9 Julai ini.

“Turut diketengahkan ialah pewujudan peta JENDELA, yang merupakan salah satu sasaran untuk Fasa 1. Peta berkenaan merupakan pusat sehenti untuk rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti untuk menyemak liputan rangkaian di kawasan mereka, menghantar maklum balas dan permohonan perkhidmatan baharu daripada penyedia perkhidmatan masing-masing” katanya.

“Semua maklum balas yang dihantar melalui peta ini akan disalurkan kepada penyedia perkhidmatan untuk membolehkan mereka merancang perkhidmatan serta kesalinghubungan yang lebih baik kepada rakyat pada masa hadapan”.

Tambah Saifuddin, laporan itu turut mengandungi maklumat berkaitan dengan kos untuk menjalankan perniagaan di negeri-negeri bagi pembinaan menara dan struktur bumbung, laporan berkenaan dengan aduan rangkaian dan usaha yang diambil oleh MCMC dan pihak penyedia perkhidmatan dalam menyelesaikan segera aduan berkaitan kesalinghubungan.

“Keputusan Kerajaan untuk mewartakan telekomunikasi sebagai utiliti awam baru-baru ini juga akan memastikan akses perkhidmatan komunikasi bukan sahaja dapat disediakan secara menyeluruh dan berkualiti tinggi tetapi juga cepat dan pada kos yang berpatutan kepada penduduk” ujar beliau.

Selain itu, kesemua negeri juga diseru untuk terus memberi keutamaan dalam melicinkan pelaksanaan projek-projek kesalinghubungan ini.

Beliau berpuas hati dengan kemajuan pelaksanaan JENDELA yang dipantau rapi oleh Jawatankuasa Pelaksanaan JENDELA dianggotai oleh MCMC dan pihak industri yang bermesyuarat setiap dua minggu.

“JENDELA dijangka mampu memberi tahap pengalaman perkhidmatan jalur lebar lebih berkualiti di seluruh negara sekaligus memberi manfaat berimpak tinggi kepada kehidupan harian rakyat”.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan terus memantau perkembangan pelan ini secara menyeluruh bagi memenuhi permintaan rakyat yang semakin meningkat serta aspirasi JENDELA direalisasikan demi kesejahteraan rakyat” katanya.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member