Ekonomi @ My LNA

Portal MyAssist MSME Inisiatif Kerajaan Bantu Usahawan Secara Dalam Talian – Muhyiddin

68

30 JUN 2021 – Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan portal MyAssist MSME bertujuan memudahkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapatkan maklumat perniagaan, khidmat nasihat dan peluang pemasaran secara dalam talian ketika negara masih berdepan penularan pandemik COVID-19 semalam.

“Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif pendigitalan bagi memantapkan lagi usaha membantu PKS sekaligus mengukuhkan pemulihan ekonomi negara. Dalam usaha kita melonjakkan status ekonomi negara, ekonomi digital memainkan peranan utama dengan sasaran sebanyak 22.6% kepada KDNK negara pada tahun 2025” katanya.

Portal MyAssist MSME ini merangkumi empat komponen utama iaitu pusat maklumat PKS, khidmat nasihat, padanan perniagaan dan ekspo perniagaan. Komponen pertama iaitu sebagai pusat maklumat, mengumpul dan hebahan mengenai inisiatif dibawah Pakej Rangsangan yang diumumkan oleh kerajaan serta program pembangunan PKS.

“Ini akan memudahkan usahawan untuk mendapatkan informasi berkenaan semua program-program pembangunan PKS di bawah satu platform”.

Tambah beliau, MeetMe adalah komponen khidmat nasihat yang membantu usahawan mendapatkan khidmat nasihat perniagaan dan perundingan, maklumat kemudahan kewangan, fasilitasi perdagangan dan penjenamaan serta sokongan teknologi secara dalam talian.

PKS juga ditawarkan sesi padanan dengan secara dalam talian dengan syarikat multinasional (MNC), syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), pasaraya besar, syarikat- syarikat terkemuka dari dalam dan luar negara secara lebih mudah melalui modul MatchMe. Ekspo jualan secara dalam talian juga diwujudkan bagi mempromosikan produk dan perkhidmatan PKS di bawah modul ePameran.

Turut dirasmikan pada hari ini adalah Minggu PKS Peringkat Kebangsaan 2021 yang bertemakan “Mula Berdikit, Azam Melangit”, bagi menghargai sumbangan PKS sebagai tulang belakang ekonomi negara, untuk meningkatkan kesedaran dan mempromosikan produk dan perkhidmatan PKS tempatan, memupuk budaya keusahawanan dan juga sebagai platform untuk menyebarkan maklumat terkini kepada PKS.

Minggu PKS Kebangsaan 2021 yang telah bermula pada 26 Jun yang lalu berlangsung sehingga 4 Julai 2021 secara dalam talian, sepenuhnya. Ekspo ini melibatkan hampir 500 pempamer daripada seluruh negara dengan sasaran nilai jualan hampir RM7 juta.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam ucapan beliau berkata pelaksanaan Minggu PKS Kebangsaan 2021 ini dapat menyediakan peluang kepada PKS untuk memulakan perniagaan, membangunkan semula perniagaan yang terkesan akibat keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, meluaskan pasaran produk dan perkhidmatan mereka serta mendapatkan khidmat nasihat dan maklumat terkini mengenai program, aktiviti serta bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

Majlis pelancaran itu turut dihadiri secara dalam talian oleh Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri MEDAC; Dato’ Suriani Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha MEDAC; Dato’ Sri Syed Hussien Al Habshee, Pengerusi SME Corp. Malaysia; Encik Rizal Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia dan Ketua-ketua Agensi MEDAC.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

BM @ MY LNAEkonomi @ My LNAUTAMA

Tindakan puak Houthi di Yaman tidak beri impak besar kepada ekonomi Malaysia

Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku...

AMBM @ MY LNAEkonomi @ My LNAKewangan @ My LNAUTAMA

Pelabur tunjuk minat tinggi untuk fahami asas dan potensi ekonomi Malaysia

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah mengetuai delegasi...