Sains, Teknologi & Komunikasi @ My LNA

KKMM Dan Agensi Sahut Saranan PM, Tumpu Keselamatan Siber – Saifuddin

56

28 JUN 2021 – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan agensinya CyberSecurity Malaysia menyahut saranan Perdana Menteri agar keselamatan siber menjadi bidang tumpuan utama kerajaan dalam usaha membanteras ancaman dan jenayah siber.

Menterinya, Dato’ Saifuddin Abdullah berkata dengan kemampuan dan keupayaan dari segi kepakaran tenaga kerja serta disokong kelengkapan prasarana makmal, akan terus menawarkan perkhidmatan, sokongan dan bantuan teknikal serta program latihan profesional kepada semua pihak bagi meningkatkan ekosistem keselamatan siber negara.

“Semua pihak harus bekerjasama bagi mengukuhkan ekosistem keselamatan siber negara dengan memperkemaskan tadbir urus berlandaskan piawaian serta amalan terbaik keselamatan siber, meningkatkan kemahiran dan kepakaran, berkongsi maklumat bagi merangka strategi dan prosedur keselamatan siber yang lebih efektif,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, keselamatan siber menjadi lebih berisiko dan rumit kerana semakin berkembang teknologi maka semakin kompleks dan sofistikated ancaman serta serangan siber yang berlaku.

“Penjenayah siber lebih aktif, berani dan semakin canggih malah mereka menggunakan kaedah baharu, teknik serta taktik yang lebih berkesan untuk melancarkan sesuatu ancaman dan serangan siber sehingga ianya berupaya memberi impak negatif terhadap pembangunan negara serta menggugat kesejahteraan dan keharmonian rakyat” katanya.

CyberSecurity Malaysia melalui program SiberKASA telah menghasilkan sebanyak 35 produk dan perkhidmatan keselamatan siber meliputi Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber, Perkhidmatan Proaktif Keselamatan Siber, Jangkauan dan Pembangunan Kapasiti, Kajian Strategik dan Penglibatan serta Pembangunan Industri dan Penyelidikan.

“Produk dan perkhidmatan berkenaan juga telah diklasifikasikan di bawah tiga komponen iaitu manusia, proses dan teknologi sebagai pendekatan holistik untuk membangun, memperkasa, melestari dan mengukuhkan prasarana serta ekosistem keselamatan siber di Malaysia” jelasnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah merasmikan Cyber Defence, Cyber Security & Emerging Technology Event for the Global Community 2021 (CYDES 2021) pada 28 Jun 2021 secara maya.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member