PICK UTAMA

Janji Temu Vaksinasi Wanita Hamil Mengikut Jangkaan Tarikh Bersalin – KJ

PUTRAJAYA 21 JUN 2021 – Janji temu kepada golongan ibu hamil bagi mendapatkan vaksin COVID-19 sedang dikeluarkan secara berperingkat mengikut jangkaan tarikh melahirkan.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) telah menerima 100,000 permohonan daripada golongan itu di seluruh negara.

“Pada hujung minggu ini, kita akan ada satu sesi vaksinasi kepada ibu hamil di Kuala Lumpur dan Perlis, manakala di negeri lain, ia sedang diproses dan kita akan keluarkan janji temu mengikut keutamaan berdasarkan jangkaan tarikh melahirkan dalam minggu akan datang,” katanya pada sidang media Perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) semalam.

Tambah beliau pihak CITF sudah memberikan 3,000 janji temu di Kuala Lumpur dan 224 janji temu di Perlis untuk ibu hamil pada hujung minggu lalu.

Dalam sidang media yang sama Khairy berkata pihak CITF turut meluluskan 5,621 permohonan untuk mendapatkan vaksin awal daripada golongan pelajar yang akan menyambung pengajian di luar negara.

“Bagi pelajar yang belum menerima janji temu, mereka boleh menghantar emel ke permohonan@vaksincovid.gov.my untuk diluluskan supaya mereka mendapat vaksinasi sebelum ke luar negara” katanya.