PICK UTAMA z10

PPV MIECC mula beroperasi dengan jumlah janji temu dihadkan kepada 4900 hari ini

14 JUN 2021 – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) MINES International Exhibition & Convention Centre (MIECC) di Seri Kembangan telah mula beroperasi hari ini mulai jam 9 pagi hingga jam 8 malam setiap hari.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar di dalam sidang media mingguan (PICK) hari ini, bagi memastikan kelancaran program pada hari pertama dengan pematuhan kepada prosedur SOP yg ketat sepanjang tempoh pandemik, penjadualan jumlah janji temu untuk MIECC pada hari ini adalah dihadkan kepada 4900 daripada kapasiti penuh iaitu 8000.

“Jumlah ini akan ditambah secara berperingkat dalam masa terdekat.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan orang ramai yang mempuyai janji temu di mana-mana PPV Mega terutamanya supaya jangan datang terlalu awal, kalau boleh datang 30 minit sebelum waktu janji temu adalah memadai, bagi mengelak kesesakan berlaku di PPV PPV kita.

Pembukaan MIECC menjadikan enam PPV Mega secara keseluruhan yang telah beroperasi dalam usaha kerajaan menyegerakan PICK. Secara keseluruhannya seramai 30,000 orang boleh divaksinasi setiap hari melalui enam PPV tambahan ini.” katanya.

Tambah beliau, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) iaitu syarikat tidak berasaskan keuntungan menguruskan PPV MIECC tersebut.