SEMASA

Polis Johor Tumpas Sidiket Rokok Seludup, Rampasan Keseluruhan Bernilai RM 9.3 Juta

MERSING 14 JUN 2021 – Sindiket pengedaran rokok seludup antarabangsa melibatkan rampasan RM9.3 juta berjaya dilumpuhkan oleh pasukan Polis Johor dalam satu serbuan di sebuah jeti di Endau pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata polis telah menahan tiga lelaki tempatan berusia 27 hingga 51 tahun dalam serbuan yang melibatkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Mersing dan PPM Wilayah 2 Tampoi dibantu Balai Polis Endau.

“Suspek ditahan ini dahulunya terlibat dalam aktiviti pelancongan tetapi disebabkan Covid-19, mereka ubah suai bahagian bot untuk menyeludup dan salah seorang daripada suspek didapati mempunyai rekod jenayah lampau” katanya dalam satu sidang media di Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin hari ini.

Tambah beliau, pihak polis turut merampas dua buah lori, satu bot persiaran atau bot pelancongan, 903 kotak rokok pelbagai jenama bernilai RM7.6 juta, satu unit Global Positioning System (GPS) dan dua unit radar. Jumlah kesemua yang disita adalah bernilai RM9.3 juta.

“Modus operandi adalah menggunakan bot persiaran ini ke sebuah kapal besar yang berada di perairan antarabangsa untuk membuat pemindahan dan membawa masuk barang seludup”.

“Mereka melakukan aktiviti menyeludup rokok dari Vietnam dan ke Batam, Indonesia untuk membuat aktiviti sama sebelum balik semula ke sini untuk diagihkan di kawasan perairan Malaysia terutama di Pantai Timur” katanya.

Menurut beliau, bagi mengaburi mata pihak berkuasa, sebahagian besar kapasiti lori itu dimuatkan dengan air mineral dan rokok seludup diletakkan dibahagian belakang lori bagi penghantaran ke lokasi-lokasi tertentu.

Kesemua suspek kini direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda 10 kali ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih tinggi sehingga tidak lebih 20 kali ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara enam hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali” katanya.