AM

Sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi di bawah KeTSA – Dr. Shamsul Anuar

114

PUTRAJAYA 1 Jun 2021 – Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan bahawa beberapa perkhidmatan di bawah Kementerian yang diterajuinya telah dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu (essential services) serta dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Dr. Shamsul Anuar dalam satu kenyataan hari ini, perkhidmatan-perkhidmatan tersebut meliputi aktiviti-aktiviti di bawah sektor-sektor Pembekalan Elektrik, Pengurusan Perhutanan (terhad kepada penguatkuasaan) dan Pengurusan Hidupan Liar dan Kawasan Perlindungan (terhad kepada penguatkuasaan dan aktiviti terpilih).

“Bagi Sektor Pembekalan Elektrik di Semenanjung dan Sabah, aktiviti-aktiviti yang dibenarkan untuk menjamin kelangsungan perkhidmatan bekalan elektrik adalah pemulihan bekalan, pembaikan kerosakan dan pengendalian sistem bekalan elektrik, pelaksanaan projek-projek pengukuhan sistem dan penyelenggaraan yang kritikal bagi sistem bekalan elektrik yang akan ditentukan oleh TNB dan SESB serta perkhidmatan pengguna.” jelas beliau.

Bagi perkhidmatan pengguna ia merangkumi :

a) bacaan meter dan penghantaran bil fizikal di premis pelanggan. Bagi kawasan PKPD, ia tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa;
b) operasi Kedai Tenaga di Semenanjung dari pukul 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari manakala Pusat Khidmat Pelanggan di Sabah tidak akan beroperasi sepanjang tempoh PKP Fasa 1. Urusan pembayaran bil, pertanyaan berkaitan bil dan akaun, pemotongan dan penyambungan bekalan serta aduan dan permintaan perkhidmatan lain boleh dibuat secara atas talian atau dengan menghubungi TNB CareLine (1300-88-5454 atau 15454) dan SESB CareLine (088-515000 atau 15454). Urusan pembayaran bil juga boleh dibuat di mesin kiosk pembayaran layan diri yang beroperasi dari pukul 8:15 pagi hingga 8:00 malam di Semenanjung dan 24 jam di Sabah; dan
c) penyambungan bekalan baharu dan pemasangan meter yang kritikal (yang akan ditentukan oleh TNB dan SESB, umpamanya kepada fasiliti kesihatan, pusat vaksin dan sebagainya).

Sementara itu Kerja-kerja pembangunan projek-projek Tenaga Boleh Baharu di bawah Program Large Scale Solar (LSS), Net Energy Metering (NEM) dan Feed-In Tariff (FiT) adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP Fasa 1 kecuali bagi projek-projek sedia ada yang perlu diteruskan bagi memastikan keselamatan awam dan keselamatan di tapak projek.

“Bagi loji jana kuasa bekalan elektrik yang bersambung ke grid (termasuk loji jana kuasa mini hidro, solar, biojisim dan biogas) yang telah beroperasi, hanya kerja-kerja operasi harian dibenarkan dengan bilangan pekerja digalakkan tidak melebihi 30% dan had maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak 50%. Bilangan pihak pengurusan hendaklah tidak melebihi 10%.” jelas Dr. Shamsul Anuar.

Tambah beliau, Kerajaan juga memutuskan bahawa tiada pemotongan bekalan elektrik di Semenanjung dan Sabah sepanjang tempoh PKP ini.

Sementara itu, bagi Sektor Pengurusan Perhutanan di Semenanjung, hanya Operasi Penguatkuasaan sahaja dibenarkan dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan bagi memastikan kawasan litupan hijau dan hutan terus terpelihara.

“Sebagai langkah tambahan, segala aktiviti dalam Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri tidak dibenarkan kepada pengunjung.” kata Dr. Shamsul Anuar.

Bagi Sektor Pengurusan Hidupan Liar Dan Kawasan Perlindungan pula, hanya Operasi Penguatkuasaan bagi Sektor Pengurusan Hidupan Liar dan Kawasan Perlindungan sahaja dibenarkan beroperasi.

“Operasi ini meliputi akiviti-aktiviti berikut dengan kapasiti terhad dan tidak membabitkan sebarang lawatan atau kehadiran pengunjung iaitu Pengoperasian Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) dan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (PMHLK); Aktiviti Pengurusan Hidupan Liar di Zoo dan Pameran Tetap serta Pembiakbakaan Hidupan Liar; dan Operasi Penguatkuasaan Hidupan Liar.” kata Dr. Shamsul Anuar.

Tambah beliau, kesemua SOP ini akan berkuatkuasa bagi tempoh 14 hari dan akan dinilai semula pelaksanaannya setelah tamat tempoh ini.

“Dalam masa yang sama, saya menyeru kerjasama semua pihak supaya sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa dalam membendung penularan wabak COVID-19.” ujar Dr. Shamsul Anuar.

Leave a comment

Please Login to Comment.

Member

Related Articles

AMBM @ MY LNASukan @ My LNAUTAMA

Dua kertas pertimbangan dibentang dalam mesyuarat JKPS

PUTRAJAYA, 18 April 2024 – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad...

AMBM @ MY LNAKajian Sosial @ My LNAPendapat @ My LNAUTAMA

Syawal ceria apabila adab dijaga

Oleh: Prof Madya Dr Aizan Ali@ Mat Zin Syawal merupakan bulan kemenangan...

AMBencana Alam @ My LNABM @ MY LNAGempa Bumi @ My LNA

Gempa bumi kuat melanda Shikoku, Jepun

Satu kejadian gempa bumi kuat telah berlaku di Shikoku, Jepun pada jam...

AMBM @ MY LNA

Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI bersama PM di 7 buah negeri

PUTRAJAYA, 17 April 2024 – Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Bersama YAB Perdana...