18 Mei 2021 – Jabatan Muzium Malaysia (JMM) mempelawa profesional muzium dan komuniti untuk mencipta dan berkongsi kaedah baru dalam mewujudkan nilai, model baru bagi institusi sejarah dan budaya dalam mendepani cabaran sosial, ekonomi dan persekitaran semasa.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Dato’ Sri Nancy Shukri berkata pandemik COVID-19 yang berlaku meninggalkan impak yang besar kepada institusi muzium apabila pihak UNESCO melaporkan 90% muzium di seluruh dunia terpaksa ditutup pada tahun 2020 dan 10% muzium berkemungkinan tidak mampu untuk beroperasi kembali.
Jelas Nancy, sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa (HMA) pada 18 Mei 2021, kesedaran orang ramai terhadap kepentingan fungsi dan peranan muzium sebagai sebuah institusi yang signifikan dalam pembangunan masyarakat perlu diperkasakan agar terus relevan dengan kehidupan semasa masyarakat pada hari ini.
“HMA ini bukan sekadar sinonim sebagai sambutan tradisi yang menjadi kenangan, tetapi seharusnya dihargai kerana memperlihatkan peranan, tanggungjawab dan pencapaian JMM sepanjang tahun menerusi muzium-muzium di bawah pentadbirannya yang berganding bahu serta bergerak bersama dengan Persatuan Muzium Malaysia dan muzium-muzium negeri, malah bersama muzium, galeri atau memorial milik institusi, agensi, swasta serta persendirian”.
HMA Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 16 Julai 2021 ini akan diadakan secara atas talian menerusi Facebook rasmi JMM.
Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan seperti pameran maya dan e-kuiz, webinar serta beberapa siri pertandingan seperti e-sukan, pertandingan persembahan kebudayaan dan nyanyian serta pertandingan kebudayaan kreatif.
“Penganjuran HMA diharap dapat memperkukuhkan lagi institusi permuziuman negara seiring dengan fungsi dan peranan muzium khususnya dalam pembangunan dan kesejahteraan masyarakat demi kelangsungan masa hadapan yang lestari” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tema sambutan HMA pada tahun ini ialah “The Future of Museums: Recover and Reimagines” atau “Masa Hadapan Muzium: Pemulihan dan Pencitraan” yang disambut oleh 37,000 buah muzium dari lebih 158 buah negara.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.jmm.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan.
- Must-Have Holiday Gift: Exotic Snack Guys Mystery Box Takes Center Stage
- Daily Fit Notes Rolls Out Affordable Fitness Solutions for the Modern Lifestyle
- Motiv Electric Trucks Crosses 5 Million Mile Mark
- Bybit One-Click Buy Offers a Winning Chance in First-Time Deposits Lucky Draws
- Hummingbird Creative Group Honored for Creative Excellence and Impact in 2024
Leave a comment